MALAYSIA

Hukuman penjara 30 tahun, 12 sebatan pemotong rumput bunuh isteri kekal

Bernama 23/10/2025 | 11:30 MYT
Mahkamah turut memerintahkan hukuman ke atas Hashmat, yang bekerja sebagai pemotong rumput, berkuat kuasa dari tarikh dia ditangkap iaitu pada 1 Okt 2021. - Gambar hiasan
PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini mengekalkan hukuman penjara 30 tahun dan 12 sebatan yang dijatuhkan ke atas seorang warga Pakistan kerana membunuh isterinya empat tahun lepas.


Ringkasan AI
  • Mahkamah Rayuan mengekalkan hukuman penjara 30 tahun dan 12 sebatan terhadap warga Pakistan, Hashmat Khan, atas kesalahan membunuh isterinya empat tahun lalu, selepas menolak rayuan untuk meringankan hukuman.
  • Panel hakim menyatakan hukuman tersebut adalah minimum mengikut undang-undang dan tidak boleh dikurangkan, dengan pilihan lain hanya hukuman mati.
  • Hashmat didapati membunuh isterinya, seorang warga Indonesia, selepas pertengkaran akibat cemburu, dengan mangsa mengalami 27 luka hirisan pada leher yang dikenal pasti sebagai punca kematian.


Panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Azmi Ariffin, Datuk Hayatul Akmal Abdul Aziz dan Datuk Meor Hashimi Abdul Hamid membuat keputusan itu selepas menolak rayuan Hashmat Khan untuk meringankan hukuman yang dijatuhkan terhadapnya oleh Mahkamah Tinggi.

Mahkamah turut memerintahkan hukuman ke atas Hashmat, yang bekerja sebagai pemotong rumput, berkuat kuasa dari tarikh dia ditangkap iaitu pada 1 Okt 2021.

Azmi berkata tempoh pemenjaraan selama 30 tahun yang dikenakan oleh Mahkamah Tinggi adalah hukuman minimum yang diperuntukkan di bawah undang-undang dan tidak boleh dikurangkan lagi.

Beliau berkata Pesuruhjaya Kehakiman mempunyai dua pilihan iaitu sama ada menjatuhkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dengan sekurang-kurangnya 12 sebatan ke atas perayu.

Terdahulu, peguam Azamuddin Abd Aziz memaklumkan mahkamah bahawa beliau sudah menjelaskan perkara itu kepada anak guamnya namun Hashmat tetap berhasrat untuk meneruskan rayuan terhadap hukuman.

Hashmat memohon hukuman ringan atas alasan dia adalah penanggung tunggal keluarga dan mempunyai ibu bapa yang sudah tua serta uzur di Pakistan selain telah menyesali perbuatannya.

Timbalan Pendakwa Raya Tetralina Ahmed Fauzi pula berkata Hashmat sepatutnya bersyukur kerana Mahkamah Tinggi tidak mengenakan hukuman yang lebih berat kerana mangsa mengalami 27 luka hirisan pada leher, dan kelaran telah dikenal pasti sebagai punca kematian.

Pada 20 Feb lepas, Mahkamah Tinggi telah menjatuhkan hukuman itu selepas Hashmat mengaku membunuh isterinya iaitu seorang warga Indonesia berusia 41 tahun yang dikenali sebagai Juli di sebuah kedai di Bandar Rinching, Semenyih di Hulu Langat, Selangor antara 25 Sept 2021 dan 7.33 pagi 28 Sept 2021.

Siasatan polis mendapati motif pembunuhan itu berpunca daripada pertengkaran akibat cemburu selepas Hashmat mengetahui isterinya mempunyai hubungan sulit.

-- BERNAMA



#Hashmat Khan #bunuh isteri #Mahkamah Rayuan #hukuman penjara