Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 – Trump & Pemimpin Serantau Berhimpun – Sorotan, Video & Analisis – Ikuti Di Sini
MALAYSIA

Hukuman penjara wanita sebabkan kematian cucu OKU dinaikkan kepada 15 tahun

Bernama 25/10/2025 | 05:50 MYT
Mahkamah Rayuan meningkatkan hukuman penjara terhadap Ipzuma Ambo daripada 10 tahun kepada 15 tahun atas kesalahan menyebabkan kematian cucu OKU berusia lima tahun tanpa niat membunuh. -Gambar fail/Pexels
PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan meningkatkan hukuman penjara seorang wanita warga emas daripada 10 tahun kepada 15 tahun atas kesalahan menyebabkan kematian tanpa niat membunuh terhadap cucunya yang juga orang kurang upaya (OKU) berusia lima tahun.


Ringkasan AI
  • Mahkamah Rayuan meningkatkan hukuman penjara terhadap Ipzuma Ambo daripada 10 tahun kepada 15 tahun atas kesalahan menyebabkan kematian cucu OKU berusia lima tahun tanpa niat membunuh.
  • Hukuman asal diketepikan selepas rayuan pendakwaan diterima, dengan mahkamah menyatakan hukuman terdahulu tidak mencukupi berdasarkan fakta kes dan trend semasa.
  • Mangsa dipercayai didera secara fizikal termasuk dimasukkan hos ke dalam dubur, ditendang dan dipijak, dengan kejadian berlaku di Kampung Sungai Chin, Gombak antara 28 hingga 30 Disember 2020.


Panel tiga hakim diketuai Hakim Datuk Mohamed Zaini Mazlan yang bersidang bersama Hakim Datuk Azmi Ariffin dan Datuk Meor Hashimi Abdul Hamid, semalam membenarkan rayuan pihak pendakwaan untuk menambah hukuman terhadap Ipzuma Ambo.

Peguam bela tertuduh, Choong Kak Sen, mengesahkan keputusan itu dan memaklumkan bahawa Mahkamah Rayuan mengetepikan hukuman asal serta menggantikannya dengan hukuman penjara 15 tahun, berkuat kuasa dari tarikh tangkapan.

Beliau turut mengesahkan bahawa mahkamah berpendapat hukuman dijatuhkan Mahkamah Tinggi sebelum ini tidak mencukupi berdasarkan fakta kes dan trend semasa dalam penjatuhan hukuman.

Ipzuma, 59, warga Indonesia, pada asalnya didakwa membunuh Qaseh Nur Qalesya Roza Iskandar.

Selepas 17 saksi memberi keterangan sepanjang perbicaraan, pihak pendakwaan menawarkan pertuduhan alternatif di bawah Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian tanpa niat membunuh.

Pada 9 Jan tahun ini, Ipzuma mengaku bersalah terhadap pertuduhan alternatif itu dan Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun, bermula dari tarikh tangkapan pada 1 Jan 2021.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Kampung Sungai Chin, Gombak, Selangor, antara 12.01 tengah malam 28 Dis 2020 dan 8.10 malam 30 Dis 2020.

Mangsa merupakan anak kepada anak lelaki angkat Ipzuma. Tertuduh telah menetap di Malaysia sejak 1992.

Ketika prosiding di Mahkamah Rayuan, Timbalan Pendakwa Raya Mohd Zain Ibrahim berhujah bahawa hukuman asal terlalu ringan memandangkan keseriusan kes yang melibatkan kematian cucu sendiri.

Bagaimanapun, Choong mempertahankan keputusan Mahkamah Tinggi dengan menyatakan bahawa hukuman 10 tahun itu tidak boleh dianggap terlalu ringan.

Berdasarkan fakta kes, kakak mangsa memberi keterangan bahawa dia terdengar adiknya menangis ketika dimandikan dan apabila disiasat, dia melihat Ipzuma mendera mangsa dengan memasukkan hos ke dalam dubur kanak-kanak itu serta menendang dan memijak tubuhnya.

Mangsa bersama kakaknya dan ibu mereka tinggal bersama Ipzuma selepas ibu bapa mereka bercerai. Ipzuma menjaga kedua-dua beradik itu ketika ibu mereka keluar bekerja.

-- BERNAMA


#Mahkamah Rayuan #hukuman penjara #Ipzuma Ambo #kematian cucu OKU