Hutan berhampiran perkampungan Orang Asli Pos Legap terbakar lagi

Abd Razak Mohd Ali
Mac 17, 2019 22:03 MYT
Pada 5 Mac lalu, kira-kira 10 hektar kawasan Hutan Simpan Gunung Korbu, berhampiran tempat yang sama terbakar. - Foto ihsam bomba
Kawasan hutan di puncak bukit berhampiran perkampung Orang Asli di Rancangan Penempatan Semula (RPS) Pos Legap terbakar lagi, kira-kira dua minggu selepas kebakaran pertama.
Pada 5 Mac lalu, kira-kira 10 hektar kawasan Hutan Simpan Gunung Korbu, berhampiran tempat yang sama terbakar.
Kebakaran itu bagaimanapun berjaya dipadamkan sepenuhnya tiga hari kemudian, menggunakan teknik bom air atau water bombing di samping jalan darat.
Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, pihaknya menerima panggilan mengenai kebakaran terbaru kira-kira jam 6.29 petang Ahad.
“Setibanya anggota bomba bersama pihak polis di RPS Pos Legap kira-kira jam 7.43 malam, mereka menerima maklumat daripada orang awam berlaku kebakaran di puncak bukit.
“Anggota menghadapi kesukaran untuk ke lokasi disebabkan faktor jalan dan keadaan malam,” katanya.
Menurutnya, operasi pemantauan ke lokasi ditangguhkan malam ini dan akan disambung pagi esok.
Selain kawasan hutan di Sungai Siput, kebakaran hutan turut berlaku di di Gunung Laba, berhampiran Kampung Air Ganda, Gerik, yang melibatkan kira-kira 16 hektar kawasan.
Kebakaran tersebut telah merebak kepada kira-kira 120 hektar tetapi berjaya dipadamkan sepenuhnya lima hari kemudian.
#Hutan Simpan Gunung Korbu #Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia #kebakaran hutan #kebakaran hutan Pos Legap #perkampung Orang Asli #Pos Legap