KUALA LUMPUR: Rasa malu dan tekanan akibat bebanan hutang mencecah RM260,000 selepas isterinya dipercayai terjerat dalam perangkap love scam dipercayai menjadi punca tragedi empat sekeluarga yang ditemukan maut di sebuah kondominium di Desa Park City, Kepong, di sini, pada Khamis.
Perkara itu terbongkar selepas polis menemui sekeping nota yang dipercayai ditinggalkan lelaki berusia 48 tahun terbabit di atas meja makan kediaman mereka sebelum kejadian.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus, berkata nota berkenaan menyatakan rasa kesal suspek terhadap isterinya yang didakwa mempunyai hubungan dengan seorang love scammer sehingga menyebabkan dia menanggung kerugian dan hutang kira-kira RM260,000.
Menurutnya, wanita itu bagaimanapun dikatakan masih cuba menghubungi scammer terbabit, menyebabkan suspek beranggapan perbuatan itu sudah melampau selain berasa malu kepada anak-anak.
Katanya, suspek adalah pengarah di sebuah syarikat milik bapanya, manakala isterinya merupakan suri rumah.
Dalam perkembangan sama, Fadil berkata, bedah siasat terhadap mayat anak perempuan berusia sembilan tahun selesai dijalankan pagi tadi.
"Hasil bedah siasat menemukan satu liang tikaman pada bahagian leher mangsa berukuran lima sentimeter," katanya dalam kenyataan, di sini pada Jumaat.
Fadil berkata, bedah siasat terhadap mayat isteri dijalankan selepas solat Jumaat dan dijangka tiga lagi bedah siasat selesai hari ini.
"Bedah siasat terhadap mayat suspek pula dijangka dijalankan esok selepas pasukan forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL) melakukan lawatan ke tempat kejadian pagi esok," katanya.
Sementara itu, katanya, polis turut menemui sebilah pisau dan sepasang sarung tangan dalam sebuah laci di bilik tidur utama yang dipercayai digunakan dalam kejadian berkenaan.
"Siasatan lanjut masih dijalankan bagi melengkapkan siasatan kes," ujarnya.