Penggunaan ubat Hydroxychloroquine dalam merawat pesakit COVID-19 dilihat hanya dapat membantu dalam rawatan pesakit COVID-19 namun tidak mampu untuk menghalang jangkitan virus bekenaan.

Pegawai Farmasi Klinik Thomson Hospital Kota Damansara, Khaw Mar-Jie berkata, setakat ini kajian tidak membuktikan penggunaan ubat tersebut mampu menghapuskan jangkitan itu sepenuhnya.

"Penggunaan Hydroxychloroquine dalam dos yang tinggi boleh mendatangkan maut kepada pesakit dan hasil kajian belum menemui sebarang petanda ia mampu mengurangkan kadar jangkitan, buat masa ini tiada penawar yang ditemui untuk merawat COVID-19 walaupun beberapa kajian terhadap ubatan sedang dijalankan,” katanya ketika ditemu bual menerusi Skype pada Rabu.

Bagaimanapun menurut Mar-Jie, penggunaan Hydroxychloroquine diterima baik dalam kalangan pesakit COVID-19 namun ia tidak serasi bagi kesemua pesakit selain turut mempunyai kesan sampingan sekiranya ia tidak dipantau oleh doktor.

“Sebenarnya secara umum, Hydroxychloroquine diterima baik dalam kalangan pesakit tetapi tidak semua dan ia mempunyai kesan sampingan seperti loya, muntah, cirit birit, dan beransur pulih selepas beberapa hari namun ia jarang sesekali berlaku.

“Walaupun jarang berlaku, kesan sampingan yang serius boleh melibatkan denyutan jantung tidak sekata, gangguan penglihatan dan kelemahan otot sekiranya diambil secara berlebihan terutamanya bagi pesakit yang telah mempunyai sejarah penyakit berkenaan,” katanya lagi.

Pada Isnin, Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata ujian klinikal terhadap ubat tersebut terpaksa dihentikan seketika selepas sebuah kajian mendakwa penggunaan ubat tersebut boleh meningkatkan risiko kematian.