Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar mengiktiraf Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai badan yang sentiasa menjalankan tugas dengan telus dan berani.

Menceritakan pengalamannya disoal siasat agensi terbabit dalam siasatan kes sebuah syarikat yang pernah diketuainya dulu, Abdul Wahid menyifatkan SPRM tidak pernah berat sebelah dalam menjalankan siasatan.

"SPRM tidak pernah bersifat berat sebelah mahupun menunjukkan rasa gentar ketika melakukan siasatan terhadap mana-mana kes rasuah.

"Agensi ini (SPRM) berani mempersoal mana-mana individu tanpa mengira posisi dan kedudukannya ketika menjalankan siasatan berhubung isu rasuah," kata beliau dalam ucapan penutup Persidangan Anti Rasuah Antarabangsa 2015 (IACC 2015) di sini hari ini.

Beliau menambah, keberanian pihak SPRM tidak mengenal pangkat mahupun darjat seseorang.

"Diharap SPRM terus menjalankan tugas ini secara berterusan dan berkesan tanpa mengira kedudukan seseorang.

"Saya mencadangkan agar SPRM juga memberi fokus kepada pemberi rasuah," kata Abdul Wahid.

Mengakhiri ucapannya, beliau menegaskan bahawa tiada siapa boleh lari daripada jenayah yang dilakukan.

"Kita ada undang-undang, jika kesalahan tersebut tidak dapat dikesan hari ini, mungkin di masa depan.

"Ada mahkamah yang akan menilai dan pada akhirnya, kebenaran akan terjawab," katanya lagi.