KUALA LUMPUR: Pengumuman pembukaan semula sempadan antarabangsa Malaysia kepada perjalanan tanpa kuarantin bagi pengembara luar yang lengkap menerima vaksin bermula 1 April 2022, sememangnya telah lama dinanti-nantikan dan disambut baik oleh industri penerbangan, kata Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA).

"Ia adalah satu langkah yang baik kerana penerbangan menyediakan sambungan dan perhubungan yang diperlukan untuk memudahkan perdagangan dan pergerakan orang ramai.

"Ini akan membolehkan Malaysia meraih manfaat sosial dan ekonomi daripada penerbangan memandangkan sumbangannya kepada pekerjaan dan keluaran dalam negara kasar," kata Naib Presiden Serantau IATA bagi Asia Pasifik, Philip Goh, dalam satu kenyataan Rabu malam.

Beliau berkata IATA berharap pada fasa pembukaan seterusnya kerajaan Malaysia akan menggantikan ujian polymerase chain reaction (PCR) dengan antigen rapid test (ART) bagi ujian sebelum berlepas dan kemudiannya kelak menghapuskan ujian sebelum berlepas dan pasca ketibaan bagi semua penumpang yang lengkap menerima vaksin.

"Sejak beberapa minggu ini, kami melihat momentum yang sangat menggalakkan di rantau Asia Pasifik untuk melonggarkan sekatan perjalanan.

"Australia, India, New Zealand, Filipina, Singapura, Sri Lanka, Thailand dan Vietnam telah mengambil langkah kehadapan untuk mengurangkan sekatan kepada perjalanan antarabangsa," kata Goh.

"Kami menggesa negara-negara utama lain seperti Indonesia, Jepun dan Korea Selatan untuk mempercepat kelonggaran sekatan, bagi memaksimumkan manfaat penerbangan yang boleh dibawa kepada ekonomi mereka," katanya.

IATA mewakili kira-kira 290 syarikat penerbangan yang menyumbang 83 peratus daripada trafik udara global.

Terdahulu pada Rabu, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan sempadan negara akan dibuka sepenuhnya pada 1 April, 2022.

Beliau berkata ini adalah sejajar dengan rancangan memasuki fasa peralihan kepada endemik serta pengumuman untuk memulihkan keseluruhan ekonomi negara terutamanya industri pelancongan yang terjejas teruk akibat pandemik.

"Dengan pembukaan semula sempadan negara ini, rakyat Malaysia yang mempunyai dokumen perjalanan yang sah kini boleh keluar masuk negara seperti biasa serta dibenarkan untuk pergi ke mana-mana negara yang turut membuka pintu sempadannya kepada pengembara luar.

"Dalam masa yang sama, rakyat negara luar dengan dokumen perjalanan yang sah juga boleh melakukan pergerakan keluar masuk ke Malaysia tanpa perlu lagi memohon MyTravelPass yang akan dimansuhkan," katanya pada sidang media khas di Bangunan Parlimen.

Beliau berkata mereka hanya perlu memuat turun dan dan mengaktifkan aplikasi MySejahtera serta melengkapkan Pre-Departure Form (borang praperlepasan) melalui fungsi 'Traveller' dalam aplikasi MySejahtera.

-- BERNAMA