Ibadah korban di Perlis dibenarkan dengan syarat ia mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Agama dan Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga Yang Dipertua MAIPs bertitah, SOP tersebut mendapat perkenan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail.

Titah baginda, semua masjid, jabatan, agensi dan badan bukan kerajaan (NGO), dibenarkan mengelola ibadah korban, tertakluk kepada SOP keselamatan dan kesihatan yang ditetapkan.

"Pelaksanaan ibadah korban hanya boleh dilakukan di rumah sembelihan, masjid atau premis persendirian, yang mendapat kelulusan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Negeri Perlis dan Jabatan Agama Islam Perlis (JAIPs)," titah baginda menerusi satu kenyataan pada Rabu.

Tengku Syed Faizuddin bertitah, waktu korban dibenarkan bermula selepas solat sunat Aidiladha sehingga sebelum masuk waktu Maghrib pada 13 Zulhijjah (31 Julai hingga 3 Ogos).

Baginda bertitah penganjur korban juga perlu menanda, menyukat dan memasang tanda jarakan sosial dengan mengambil kira ketetapan jarak antara haiwan korban sekurang-kurangnya lima meter dan jarak antara petugas pula pada jarak satu meter.

Titah baginda selain itu jarak antara haiwan korban dengan haiwan korban yang lain di lokasi sembelihan dan melapah adalah sekurang-kurangnya pada jarak lima meter.

"Daging korban boleh dimasak dan dijadikan jamuan. Walau bagaimanapun proses menyediakan jamuan hendaklah mematuhi jarak sekurang-kurangnya 10 meter dari lokasi penyembelihan, serta jamuan hanya dikhususkan untuk peserta korban dan petugas tetap korban sahaja," titah baginda.

Baginda bertitah semua petugas di lokasi sembelihan dan pemprosesan daging korban, diwajibkan untuk memakai pelitup muka, sarung tangan dan apron bergred kesihatan.

"Semua pihak yang bercadang untuk mengelolakan ibadah korban di negeri Perlis, hendaklah mengemukakan 'Borang Permohonan Ibadah Korban Tahun 1441H/2020 Negeri Perlis' kepada Bahagian Dakwah dan Takmir JAIPs, selewat-lewatnya tujuh hari dari tarikh 10 Zulhijjah 1441H bersamaan 24 Julai," titah baginda.

-- BERNAMA