KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini, hadir memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham Profesor Diraja Tan Sri Syed Muhammad Naquib Al-Attas.
Beliau tiba di Masjid At-Taqwa di sini sekitar jam 11.30 pagi dan menyertai solat jenazah, yang diimamkan oleh anak Allahyarham, Syed Ali Tawfik Al-Attas, bersama ratusan jemaah lain.
Advertisement
Anwar ketika ditemui media turut menyingkap pengalaman beliau bersama Allahyarham yang disifatkan ibarat guru dan murid ketika mengasaskan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) pada tahun 1971.
“Kita banyak menimba ilmu daripada dia dan semasa (di dalam) ABIM pun kita bawa dia keliling seluruh negara,” katanya.
Pada masa sama, Anwar turut mengesahkan menerima pelbagai ucapan takziah dari luar negara berkenaan pemergian Allahyarham.
Anwar sebelum ini turut menyatakan perasaan dukacitanya atas pemergian Allahyarham sambil menyifatkan negara kehilangan seorang pemikir dan ahli falsalfah terbesar di zaman ini.
Beliau turut menyatakan beberapa karya agung Allahyarham seperti ‘Islam and Seculairism’ dan ‘Prolegomena to the Metaphysics of Islam’ telah menetapkan asas intelektual bagi pandangan dunia Islam.
Turut hadir memberi penghormatan ialah beberapa anggota kabinet Kerajaan Perpaduan, termasuk Timbalan Perdana Menteri II, Datuk Seri Fadilah Yusof; Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abd Kadir; dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Zulkifli Hasan.
Terdahulu, Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut berkenan memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham.
Jenazah Allahyarham tiba di perkarangan masjid pada jam 9.40 pagi bagi urusan memandikan jenazah sebelum disolatkan dan dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara tengah hari ini.