IPOH: Penyaluran Bantuan Awal Persekolahan (BAP) sebanyak RM150 bagi setiap murid oleh kerajaan bermula pada Januari lepas bukan sahaja membolehkan ibu bapa membeli kelengkapan sekolah berkualiti tetapi juga memudahkan mereka membuat persiapan awal sebelum penggal persekolahan dibuka.

Malah ada juga ibu bapa yang menyimpan sebahagian daripada bantuan berkenaan untuk pembayaran yuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) apabila sekolah dibuka nanti.

Tinjauan Bernama di sebuah kedai pakaian sekolah Canggih Go di sini mendapati rata-rata ibu bapa bersama anak-anak mereka mula membeli kelengkapan sekolah seperti baju, seluar, kasut dan beg.

Nurul Afiqah Ishak, 31, berkata bantuan itu dapat menampung keperluan anak lelakinya, Aqil Najmi Hamirul Fitri, 9, yang akan memasuki darjah tiga nanti meskipun sedar BAP itu tidak cukup untuk keseluruhan keperluan anaknya.

"(BAP) dapat ringankan beban untuk beli barang persekolahan anak saya antaranya buku, baju dan kasut sekolah. Hari ini sahaja saya belanjakan RM38 untuk belikan dia (Aqil Najmi) kasut sekolah," kata ibu kepada dua cahaya mata itu ketika ditemui Bernama.

Nurul Afiqah yang bekerja sendiri berkata wang BAP itu juga akan digunakan untuk membeli buku sekolah serta kelengkapan alat tulis anaknya.

Sementara itu, guru sekolah M. Vasugi, 46, berkata dia akan menggunakan duit sendiri dahulu untuk membeli kelengkapan sekolah anak-anaknya sebelum menggunakan BAP sebagai kewangan tambahan bagi barangan sekolah mereka.

"Saya telah menerima BAP bagi pihak anak-anak pada awal Februari ini dan tidak dinafikan, ia membantu meringankan beban untuk membeli kelengkapan sekolah anak. Setakat ini memang tidak menggunakan BAP, tetapi akan gunakan juga nanti untuk beli alat tulis mereka (anak-anaknya)," kata ibu kepada dua anak perempuan, K. Aruntati, 17, dan K. Arulvily, 14.

Dalam pada itu, penolong akauntan sebuah agensi badan berkanun Muhammad Amin Sham, 53, yang merupakan bapa kepada empat anak berkata BAP pastinya dapat meringankan bebannya untuk membeli kelengkapan sekolah anak-anaknya.

Kebetulan pula, Muhammad Amin terpilih sebagai antara penerima baucar RM200 dalam program Back To School 2024 anjuran Canggih Sutera Sdn Bhd dengan kerjasama Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (SSI).

"Baucar itu boleh digunakan untuk beli kelengkapan sekolah anak-anak, manakala BAP pula akan digunakan untuk membayar yuran PIBG sekolah. Baki BAP itu akan digunakan sepenuhnya untuk kelengkapan sekolah mereka seperti alat tulis dan buku sekolah," kata Muhammad Amin.

Seorang pengurus kewangan sebuah agensi badan berkanun Fatim Hana Sofian, 39, yang juga penerima baucar tersebut pula berkata BAP memberi kemudahan untuknya membeli kelengkapan sekolah tiga anaknya.

"RM150 untuk setiap seorang yang diterima anak saya digunakan untuk beli kasut dan beg sekolah. Baju sekolah tahun lepas masih banyak dan boleh digunakan, tetapi baki duit BAP itu akan digunakan bagi membeli alat tulis, stoking dan sebagainya, jika masih ada lebihan kita rancang apabila sekolah sudah bermula," katanya.

Sementara itu Pengarah Urusan Canggih Sutera Sdn Bhd Rozamir Zulkifli berkata penyaluran BAP kepada murid dan pelajar sekolah itu membantu jualannya di samping meringankan beban ibu bapa terutama golongan B40 membeli kelengkapan sekolah anak mereka.

Kementerian Pendidikan sebelum ini mengumumkan kerajaan memperuntukkan RM788.13 juta menerusi Belanjawan 2024 khusus untuk tujuan BAP yang akan memberi manfaat kepada lebih 5.25 juta murid.

Mengenai program Back To School 2024 itu, Rozamir berkata tahun ini pihaknya menawarkan barangan persekolahan dengan diskaun lima peratus kepada beberapa sekolah yang telah bekerjasama dengan Canggih Go untuk ibu bapa yang menerima BAP bagi pihak anak mereka.

"Kali ini kami juga ada memberi cabutan bertuah kepada mereka (terbuka) yang membeli pada harga RM200 ke atas di Canggih Go untuk berpeluang memenangi antaranya motosikal, basikal, komputer riba dan telefon pintar," katanya.

-- BERNAMA