MALAYSIA

Ibu bapa kanak-kanak dikelar di Batu Pahat direman dua hari

Bernama 29/10/2025 | 03:50 MYT
Ibu bapa kepada kanak-kanak lelaki berusia enam tahun yang dikelar di leher dipercayai dengan pisau di Parit Raja, Batu Pahat, Isnin lepas direman selama dua hari hingga esok bagi membantu siasatan. - Gambar hiasan
BATU PAHAT: Ibu bapa kepada kanak-kanak lelaki berusia enam tahun yang dikelar di leher dipercayai dengan pisau di Parit Raja, di sini, Isnin lepas direman selama dua hari hingga esok bagi membantu siasatan.

Perintah reman terhadap pasangan berusia 41 tahun itu dikeluarkan Majistret Norasidah A. Rahman di Mahkamah Majistret Batu Pahat, hari ini.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata atau benda berbahaya.

Terdahulu, ibu bapa kanak-kanak berkenaan dibawa ke mahkamah dengan kenderaan polis pada 8.15 pagi dan pada prosiding itu, mereka diwakili peguam Muhamad Izwan Ishak.

Semalam, polis menahan pasangan itu di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat pada 4 petang bagi membantu siasatan.

Isnin lepas, media melaporkan mangsa parah selepas dikelar, dipercayai menggunakan pisau dan kejadian itu disedari oleh ibunya kira-kira 5.30 pagi selepas tersedar daripada tidur.

Mangsa kemudiannya dirawat di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) di sini dan kini berada dalam keadaan stabil serta sudah boleh bercakap selepas menjalani pembedahan.

--BERNAMA





#kanak-kanak dikelar #ibu bapa direman #reman dua hari #Kanak-kanak