NATIONAL
Ibu bapa kanak-kanak diserang sawan maafkan Hospital Melaka
Siti Aishah ditemui di Hospital Melaka. - Foto Sinar Harian
MELAKA: Ibu bapa kepada kanak-kanak berusia 22 bulan yang mengalami demam panas dan dibiarkan menahan kesakitan selama 11 jam sehingga diserang sawan seperti yang tular semalam, memaklumkan bahawa mereka telah memaafkan pihak Hospital Melaka.
Ibunya, Siti Aishah Rahim, 27, berkata, tindakannya berkongsi kejadian menimpa anaknya bukan bertujuan untuk mengaibkan mana-mana pihak, sebaliknya sebagai iktibar dan pengajaran kepada semua.
“Saya tak mahu pengalaman pahit anak saya yang terpaksa menunggu lama di zon hijau berulang kepada orang lain. Ia bukan sahaja boleh mencemarkan imej hospital ini malah negeri Melaka.
“Walaupun pada awalnya saya terkilan, namun saya dan suami menerima permohonan maaf pihak hospital yang telah berjumpa kami.
“Harap sangat agar insiden ini tidak terjadi kepada anak orang lain, sepertimana kita tahu sebelum ini Hospital Melaka memang banyak sangat isu,” katanya ketika ditemui pemberita di Hospital Melaka, semalam.
Tambah suri rumah yang juga anak jati Melaka itu, dia amat berharap kerajaan negeri dapat memandang serius perkara ini dan tidak melakukan pembaziran terhadap projek lain yang bernilai jutaan ringgit.
“Bimbang nanti ada orang pertikai, benda lain bernilai jutaan ringgit boleh buat, tetapi bab keadaan hospital dibuat macam barang mainan – sekadar cakap di bibir tetapi tiada perubahan,” ujarnya.
Jelasnya, keadaan anak sulungnya yang diserang virus adenovirus kini semakin baik dan telah ditempatkan di wad biasa kanak-kanak serta masih dalam pemerhatian pihak doktor.
Sementara itu, Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Melaka, Datuk Ngwe Hee Sem berkata, bayi berkenaan telah dibenarkan pulang pada jam 5 petang semalam selepas mendapatkan rawatan pada Ahad.
Terdahulu, Sinar Harian melaporkan seorang ibu meluahkan rasa kecewa apabila bayi perempuannya yang berusia 22 bulan diserang sawan selepas didakwa lewat menerima rawatan ketika mendapatkan bantuan perubatan di Hospital Melaka.
Menerusi perkongsiannya di Facebook, Siti Aishah memaklumkan beliau hadir ke hospital itu bagi mendapatkan rawatan anak sulungnya, Siti Farha Adelia Mohd Firdaus, yang mengalami demam panas.
Malangnya, kanak-kanak itu berterusan menangis kerana menahan sakit dan didakwa lewat diberikan rawatan, sehingga terpaksa menunggu hampir 11 jam sebelum insiden tersebut tular sejak malam Ahad.
Wanita itu turut mendakwa telah merayu untuk diberikan rawatan segera apabila suhu anaknya mencecah sehingga 40 darjah Celsius, namun jururawat bertugas hanya meminta agar beliau bersabar.
Selepas mendapatkan rawatan, kanak-kanak tersebut disahkan dijangkiti virus yang menyerang saluran pernafasan dan pencernaan, selain turut menjejaskan mata dan paru-paru.
Siti Aishah turut mendakwa layanan yang diterima seolah-olah sambil lewa dan tidak sensitif terhadap keadaan kritikal anak kecilnya itu. - Sinar Harian