MALAYSIA

Ibu bapa kanak-kanak maut ditinggal dalam van sekolah fail saman

Bernama 30/10/2025 | 09:40 MYT
Tindakan itu diambil susulan keengganan defendan untuk bertanggungjawab atau mengakui kecuaian dan mengeluarkan permohonan maaf selepas surat tuntutan diserahkan pada 20 Jun. - Gambar hiasan
JOHOR BAHRU: Ibu bapa kanak-kanak berusia lima tahun Teo Yu Ze yang maut selepas ditinggalkan tanpa pengawasan selama beberapa jam di dalam sebuah van sekolah berkunci pada 30 April, memfailkan saman sivil terhadap lima pihak di Mahkamah Tinggi di sini.

Dalam kenyataan hari ini, peguam Ng Kian Nam yang mewakili Teo Jia Meng dan Yu Yue Yang berkata mereka yang dinamakan sebagai defendan ialah pengusaha tadika Lee Cheak Lu dan YK Educational Group Sdn Bhd, Double Tree Transport Sdn Bhd, pemandu van sekolah Yau Chee Weng dan Kementerian Pendidikan (KPM).

Ng berkata tindakan itu diambil susulan keengganan defendan untuk bertanggungjawab atau mengakui kecuaian dan mengeluarkan permohonan maaf selepas surat tuntutan diserahkan pada 20 Jun.

Beliau berkata KPM dinamakan sebagai antara defendan atas dakwaan gagal mengambil tindakan penguatkuasaan tegas terhadap pengusaha tadika itu di bawah Garis Panduan Tadika Swasta, Akta Pendidikan 1996 dan Akta Kanak-Kanak 2001 bagi memastikan persekitaran pendidikan yang selamat.

"Anak guam kami sangat kecewa kerana walaupun insiden maut dan jenayah di sekolah kebelakangan ini menimbulkan kebimbangan isu keselamatan, pihak berkuasa gagal mengambil tindakan serius atau menahan pihak bertanggungjawab," katanya.

Ng berkata saman sivil itu berasaskan prinsip undang-undang Res Ipsa Loquitur (perkara itu bercakap sendiri) dan kematian itu hanya boleh berlaku akibat kecuaian serius defendan memandangkan kanak-kanak tersebut berada dalam jagaan serta kawalan mereka semasa kejadian.

Beliau berkata objektif tindakan itu ialah mendedahkan keseluruhan fakta kejadian, memastikan keadilan terhadap si mati serta mendesak KPM untuk melaksanakan siasatan bebas dan telus sepenuhnya.

Selain itu, Ng menggesa Jabatan Peguam Negara untuk menilai semula pendirian dan mempertimbangkan pendakwaan jenayah di bawah Akta Kanak-Kanak 2001 terhadap pengusaha tadika, kerana mendakwa pernah membuat rayuan berhubung perkara itu, namun tidak berjawab.

Beliau berkata keselamatan kanak-kanak di institusi pendidikan mesti diberi keutamaan dan menekankan bahawa tiada ibu bapa harus menanggung kehilangan anak disebabkan kecuaian seperti itu.

Sementara itu, pada 7 Mei, Yau didakwa di Mahkamah Sesyen Batu Pahat atas tuduhan meninggalkan kanak-kanak lelaki berusia lima tahun dua bulan sehingga menyebabkannya meninggal dunia dalam sebuah motovan di hadapan sebuah tadika di Taman Bukit Indah, Iskandar Puteri antara 8 pagi hingga 12.05 tengah hari, pada 30 April.

Dia mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu yang dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31(1) akta sama, memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun atau denda maksimum RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

-- BERNAMA




#kanak-kanak maut dalam van #Teo Yu Ze #saman sivil #KPM