KUALA LUMPUR: Ibu bapa mendiang Teoh Beng Hock telah memfailkan tindakan undang-undang di Mahkamah Tinggi di sini bagi memohon supaya Polis Diraja Malaysia (PDRM) melengkapkan siasatan berhubung kematian anak mereka hampir 13 tahun lepas.

Permohonan itu ditetapkan untuk pendengaran pada 16 Jun ini di hadapan Hakim Datuk Noorin Badaruddin.

Dalam permohonan itu, pasangan suami isteri berkenaan memohon deklarasi bahawa kegagalan responden pertama, kedua dan ketiga untuk melengkapkan siasatan berhubung kematian anak mereka dalam jangka masa munsabah telah melanggari Seksyen 20(3) Akta Polis 1967.

Mereka juga menuntut deklarasi bahawa PDRM cuai serta cuba menafikan hak keperlembagaan pemohon di bawah Artikel 8 Perlembagaan Persekutuan selain memohon suatu perintah mandamus agar responden pertama (Ketua Polis Negara) melengkapkan siasatan kematian si mati (Beng Hock) dalam tempoh sebulan dari tarikh penghakiman.

Permohonan itu difailkan antaranya atas alasan walaupun tiga pasukan khas ditubuhkan untuk menyiasat punca kematian si mati, siasatan itu didapati belum lengkap kerana berdasarkan surat Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah PDRM bertarikh 21 Sept 2021 menyatakan bahawa Jabatan Peguam Negara telah menyerahkan kembali kertas-kertas siasatan kepada Ketua Polis Negara pada 3 Sept 2021.

Menurut pemohon, kertas-kertas siasatan berhubung kematian si mati telah pun berkali-kali dikembalikan kepada responden pertama, kedua dan ketiga oleh Jabatan Peguam Negara untuk siasatan lanjut.

Dakwa mereka, adalah jelas bahawa siasatan kematian si mati masih belum dilengkapkan oleh pihak polis walaupun kematian itu berlaku hampir 13 tahun lepas.

Beng Hock ditemukan mati pada 16 Julai 2009 di tingkat lima bangunan Plaza Masalam, Shah Alam, selepas memberi keterangan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di tingkat 14 bangunan sama.

Mendiang adalah Setiausaha Politik kepada Ahli Dewan Undangan Negeri Seri Kembangan Ean Yong Hian Wah yang ketika itu merupakan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Pemutihan Kilang Haram dan Pembangunan Kampung Baru Selangor.

Pada 5 Jan 2011, Mahkamah Koroner Shah Alam memutuskan kematian Beng Hock pada 2009 bukan disebabkan membunuh diri atau dibunuh serta mendapati tiada pihak ketiga terlibat dalam kematiannya manakala pada 21 Julai 2011, Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menyiasat kematian Beng Hock memutuskan bahawa kematiannya itu akibat membunuh diri.

Pada 5 Sept 2014, Mahkamah Rayuan menukar keputusan terbuka dalam kes kematian Beng Hock dan memutuskan bahawa kematiannya itu akibat tindakan menyalahi undang-undang oleh seorang atau beberapa orang yang tidak dikenali.

-- BERNAMA