MALAYSIA
Ibu bapa perlu ambil peranan kawal penggunaan internet anak-anak - Fahmi
Fahmi berkata, kanak-kanak yang belum matang sepenuhnya terutama berusia bawah 16 tahun berisiko menjadi mangsa eksploitasi data, penipuan dan gangguan dalam talian sekiranya tidak dipantau dengan baik. - Gambar/ Bernama
KUALA LUMPUR: Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata ibu bapa perlu memainkan peranan utama dalam mengawal dan memantau penggunaan internet oleh anak-anak, sebagai usaha melindungi mereka daripada ancaman jenayah siber.
Beliau berkata kanak-kanak yang belum matang sepenuhnya terutama berusia bawah 16 tahun berisiko menjadi mangsa eksploitasi data, penipuan dan gangguan dalam talian sekiranya tidak dipantau dengan baik.
"Telefon pintar, tablet dan langganan internet bukan dibeli oleh anak-anak, tetapi oleh ibu bapa. Jadi kawalan dan tanggungjawab itu perlu bermula daripada ibu bapa sendiri," katanya pada pelancaran Hari Keselamatan Internet 2026 anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), di sini hari ini.
Fahmi menegaskan peranti digital tidak seharusnya dijadikan sebagai 'pengasuh' kepada anak-anak, sebaliknya ibu bapa perlu menetapkan sekatan keselamatan dan had masa penggunaan.
Beliau turut berkongsi pengalaman peribadi mengawal penggunaan permainan digital oleh anaknya yang berusia 13 tahun, selepas mendapati permainan itu menyebabkan anaknya terlalu leka.
"Saya tetapkan had masa, kalau lebih sejam, perlu minta kebenaran. Ini bukan kejam, tetapi untuk mendidik anak-anak supaya tahu batas dan bersederhana," katanya sambil menasihatkan ibu bapa supaya memastikan penggunaan internet tidak menjejaskan pendidikan anak-anak.
Bercakap kepada pemberita selepas itu, Fahmi berkata Kempen Internet Selamat pada tahun ini juga memfokuskan mesej keselamatan internet di bawah kawalan ibu bapa, antaranya peranan mengehadkan masa penggunaan peranti atau bermain permainan video.
Mengenai usaha meningkatkan kesedaran keselamatan internet dalam komuniti, beliau berkata sebanyak 150 individu daripada pelbagai latar belakang telah dilantik untuk menyampaikan segala maklumat terkini kepada komuniti masing-masing dari semasa ke semasa.
"Mereka akan diberikan maklumat dari semasa ke semasa untuk disampaikan kepada komuniti masing-masing tentang sama ada masalah scam (penipuan) terbaharu, modus operandi scammer (penipu) yang terkini, ataupun sebarang maklumat terkini tentang isu keselamatan internet," katanya.
-- BERNAMA