KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini diberitahu bahawa Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menerima tekanan untuk menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri ketika itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Perkara itu dimaklumkan oleh bapa kepada bekas Menteri Belia dan Sukan itu, Syed Abdul Rahman Alsagoff ketika memberikan keterangan berhubung  empat pertuduhan berkaitan pecah amanah dana Armada Bersatu berjumlah RM1 juta dan pengubahan wang haram.

“Sejujurnya saya katakan bahawa sokongan kepada Muhyiddin ketika itu adalah tipis (pada 2020) dan sudah pasti anak saya akan dianiaya kerana politiknya tidak sehaluan dengan Tan Sri (Muhyiddin).

"Saya tahu anak saya tegas dan berintegriti tinggi dan saya menasihatkan dia untuk terus maju dan mengekalkan pendirian yang kukuh dan jujur," kata Syed Abdul Rahman semasa pemeriksaan balas oleh peguam bela Gobind Singh Deo.

Saksi turut bersetuju dengan pertanyaan Gobind sama ada Syed Saddiq disiasat untuk memaksanya menyokong Muhyiddin, yang juga Ahli Parlimen Pagoh.

Sementara itu, ibu tertuduh, Sharifah Mahani Syed Abdul Aziz pula memberi keterangan bahawa pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendakwa telah ‘menasihatkan secara berseloroh’ supaya menasihatkan anaknya agar menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) pada 2020.

Sharifah Mahani memberitahu kejadian itu berlaku ketika pegawai terbabit menyoalnya sebagai sebahagian daripada penyiasatan terhadap Syed Saddiq.

“Sebagai seorang ibu, hati saya tersentap apabila pegawai (SPRM) memberitahu saya adalah lebih baik jika saya menasihati anak saya supaya mengikut sahaja kerajaan yang ada sekarang supaya saya dan suami tidak disiasat lagi,” dakwa Sharifah Mahani.

Sharifah Mahani menambah, sebagai ibu, dia menyayangi anaknya dan tahu pengorbanan Syed Saddiq.

"Saya anggap anak saya sudah menjadi mangsa politik,” katanya lagi.

Terdahulu, pihak pendakwaan memaklumkan akan membuktikan kesemua kesalahan yang didakwa dilakukan Syed Saddiq adalah berniat jahat dan tidak jujur.

Mengikut pertuduhan pertama, Syed Saddiq didakwa bersubahat dengan Rafiq Hakim Razali iaitu Penolong Bendahari Armada Bersatu, yang diamanahkan dengan dana berjumlah RM1 juta, telah melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2 di sini pada 6 Mac 2020 mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun dengan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menyalahgunakan harta untuk diri sendiri iaitu wang RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise dengan menyebabkan Rafiq melupuskan wang tersebut.

Syed Saddiq didakwa melakukan perbuatan itu di Malayan Banking Berhad, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya antara 8 hingga 21 April 2018 mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum enam bulan dan maksimum lima tahun dengan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Beliau juga berdepan dua pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.

Syed Saddiq dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (Amla) 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama.

Jika sabit kesalahan, Syed Saddiq berdepan hukuman maksimum penjara 15 tahun dan denda lima kali ganda jumlah atau hasil aktiviti haram.