Ibu didakwa bunuh anak perempuan berusia 11 tahun

Bernama
Julai 21, 2022 05:23 MYT
Nurasidah menetapkan 13 Sept ini untuk sebutan semula kes bagi mendapatkan laporan bedah siasat dan kimia. - Gambar fail
BATU PAHAT: Seorang ibu dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh anak perempuannya berusia 11 tahun di sebuah rumah di Taman Bukit Tropika, Yong Peng di sini Khamis lepas.
Tiada pengakuan direkodkan daripada Sembakavali, 34, selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Nurasidah A Rahman kerana kes berkenaan di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Tertuduh didakwa membunuh N. Maha Letchumi, 11, di sebuah rumah bernombor 21 Jalan Tropika 14, Taman Bukit Tropika, Yong Peng kira-kira pukul 4.55 petang 14 Julai lepas mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Izzati Rozman manakala Sembakavali tidak diwakili peguam.
Nurasidah menetapkan 13 Sept ini untuk sebutan semula kes bagi mendapatkan laporan bedah siasat dan kimia.
Media sebelum ini melaporkan seorang kanak-kanak perempuan ditemukan mati dengan kesan jerut di leher dan terdapat kesan luka di dahi, namun tiada kecederaan di bahagian badan mangsa.
-- BERNAMA
#ibu bunuh anak 11 tahun #Taman Bukit Tropika #N Maha Letchumi #kesan jerut di leher dan luka di dahi