KOTA BHARU: Seorang ibu nekad mendukung anak perempuan kurang upaya yang menghidap penyakit buah pinggang kronik untuk menyelamatkan diri daripada kebakaran melibatkan dua unit premis kedai di Kampung Biah, Perol di sini pada Khamis.

Kejadian berlaku pada jam 8.20 pagi ketika Asmiza Mustapha, 48, melakukan persiapan untuk membuka operasi menjual nasi berlauk bersama suaminya, Mohamad Jaafar, 53.

Kata Asmiza, dia ketika itu sedang menggoreng ayam sebelum dipanggil oleh anaknya, Nur Hanis Mohamad, 20, yang tidak dapat berjalan untuk dibantu memakai lampin, manakala Mohamad sedang mengemas dalam sebuah bilik.

Katanya, ketika itu, secara tiba-tiba dia terdengar bunyi letupan perlahan dari arah dapur dan melihat api keluar dari bahagian suis elektrik enjin pam air.

“Semasa melihat api, saya menjerit memanggil suami dan belum sempat berbuat apa-apa api menyambar ke bahagian dapur yang ada ayam sedang digoreng.

“Suami terus mengarahkan kami lari dan saya memangku Nur Hanis membawanya keluar dari kedai yang sedang terbakar,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di Perol di sini pada Khamis.

Menurutnya, ketika berpatah balik untuk melihat keadaan suami, dia sekali lagi panik apabila lelaki itu terperangkap dalam bilik air di bahagian dapur sebelum membaling kunci gril bagi membolehkan suaminya membuka pintu belakang dan keluar menyelamatkan diri.

“Dia terperangkap kira-kira 15 minit dalam api yang marak di bahagian dapur, namun berjaya keluar selepas menendang pintu gril bahagian belakang kedai.

“Suami saya masih terkejut dan mengadu sakit dada kerana terhidu asap,” katanya.

Ujar ibu lima anak itu, mereka sekeluarga tidak dapat menyelamatkan barangan perniagaan yang hangus sepenuhnya dalam kejadian itu.

“Selainnya, duit tunai tempahan pelanggan dan masjid berjumlah lebih RM1,000 turut hangus terbakar.

“Saya alami kerugian kira-kira RM20,000 apabila semua peralatan seperti meja, kerusi, dua peti sejuk, rak makanan, dapur dan empat tong gas munsah,” katanya sebak. - Sinar Harian