Ibu dukung bayi redah banjir 500 meter

Sehingga kini kurang 10 peratus mangsa banjir di Pulau Pinang dibenarkan pulang ke rumah masing-masing. - Gambar fail
TASEK GELUGOR: Seorang ibu nekad meredah banjir sedalam hampir sejauh lebih 500 meter (m) sambil mendukung bayi perempuan berusia lima bulan selepas kediaman mereka di Labuh Banting dinaiki air, Jumaat lepas.
Suria Abdul Hadi, 34, seorang suri rumah berkata hujan lebat sejak petang Khamis menyebabkan air mula melimpah masuh ke dalam rumah penduduk di kawasan berkenaan menjelang tengah malam.
"Saya tinggal bersama suami (Muhammad Razmi Muhammad, 35) dan dua anak iaitu Muhammad Rayyan Shaffyie berusia lapan tahun dan Amanda Lufia yang baru lima bulan.
"Ketika kami sedang tidur kira-kira 1 pagi, air mula memasuki rumah. Mujur rumah dua tingkat, jadi sempat pindahkan barangan elektrik ke bahagian atas," katanya kepada pemberi ketika ditemui di pusat pemindahan sementera (PPS) Dewan Banjir Labuh Banting di sini hari ini.
Melihatkan keadaan air yang semakin meningkat menjelang pagi, Suria berkata dia dan suami bertindak keluar dari rumah sambil mendukung bayi perempuannya, manakala suami mengendong anak lelaki mereka serta membawa beberapa barangan keperluan ke PPS berhampiran.
"Saya bersyukur kerana semuanya selamat dan kedua-dua anak saya sihat walaupun terpaksa meredah hujan serta air banjir," katanya sambil menambah, situasi cemas pernah dialaminya pada 2017 ketika mengandungkan anak sulung mereka dengan air naik hingga paras leher.
Timbalan Ketua Menteri I Datuk Mohamad Abdul Hamid berkata sehingga hari ini, kurang 10 peratus mangsa banjir di Pulau Pinang dibenarkan pulang ke rumah masing-masing dengan pemantauan masih dijalankan pihak berkuasa bagi memastikan keadaan benar-benar selamat dan terkawal.
"Cuaca semakin baik dan banjir kian surut. Kemungkinan kebanyakan mangsa boleh pulang ke rumah menjelang petang ini atau esok.
"Namun kita nasihatkan kepada mangsa supaya berwaspada, menjaga kesihatan diri, menjaga keselamatan dan saya ucapkan terima kasih kepada agensi terlibat yang menguruskan PPS dan juga bencana banjir ini termasuk NADMA daripada Jabatan Perdana Menteri," katanya.
Mohamad berkata selain bantuan zakat Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), penduduk terjejas juga akan mendapat bantuan daripada Tabung Bencana TYT (Yang Dipertua Negeri).
Sehingga pagi tadi, jumlah mangsa banjir pagi ini berkurang sedikit kepada 1,049 orang daripada 295 keluarga ditempatkan di tujuh PPS melibatkan tiga daerah di negeri itu.
Berdasarkan laman web info bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Seberang Perai Utara (SPU) merupakan daerah paling teruk terjejas dengan 781 mangsa daripada 217 keluarga ditempatkan di empat PPS, di Seberang Perai Tengah pula, 234 orang daripada 68 keluarga ditempatkan di dua PSS.
Di daerah Barat Daya pula kekal 34 orang daripada 10 keluarga yang ditempatkan di satu PPS.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


