NATIONAL
Ibu gajah perlukan masa panjang untuk pulih - MAZPA
Petugas Perhilitan menggunakan ubat pelali sebelum melepaskan gajah terbabit di kawasan hutan.
IPOH: Kematian tragis seekor anak gajah di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik-Jeli, Perak pada Ahad bukan sahaja mencetuskan kebimbangan terhadap keselamatan haiwan liar, malah turut membuka perbincangan mengenai kesan psikologi terhadap ibu gajah yang kehilangan anak tersayang.
Ringkasan AI
- Kejadian seekor anak gajah mati dirempuh lori di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik-Jeli, Perak, mencetuskan kebimbangan terhadap keselamatan haiwan liar.
- Ibu gajah mengalami tempoh berkabung dan kesedihan mendalam selepas kehilangan anaknya, yang boleh mengambil masa sebelum pulih sepenuhnya.
- Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) melepaskan ubat pelali untuk menenangkan ibu gajah yang enggan beredar dari bangkai anaknya.
Pengerusi Persatuan Taman-Taman Zoologikal dan Akuaria Malaysia (MAZPA), Dr Kevin Lazarus berkata, ikatan emosi antara ibu dan anak gajah amat mendalam dan tidak boleh dipandang ringan.
Menurut beliau, berdasarkan pemerhatian serta pengalaman, gajah betina yang kehilangan anak akan melalui fasa berduka (grieving period) yang boleh mengambil masa sebelum pulih sepenuhnya dan kembali menyertai kumpulannya.
“Selepas kehilangan anak, gajah betina akan mengalami tempoh berkabung. Namun secara berperingkat, ia biasanya dapat menerima kehilangan tersebut dan meneruskan hidup.
“Apabila kembali ke kumpulannya, keadaannya akan menjadi lebih tenang. Ini adalah proses semula jadi dalam struktur sosial haiwan seperti gajah,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Dalam kejadian jam 2.50 pagi Ahad itu, seekor anak gajah jantan dipercayai berusia lima tahun mati dirempuh sebuah lori ketika melintas dari kawasan hutan di JRTB. Ibu gajah yang turut berada di lokasi dilihat enggan beredar daripada bangkai anaknya selama beberapa jam.
Susulan itu, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) bertindak melepaskan ubat pelali bagi menenangkan haiwan berkenaan.
Dr Kevin, yang juga bekas Pengarah Zoo Taiping dan Night Safari, menyifatkan tindakan pantas pihak Perhilitan sebagai langkah paling sesuai berdasarkan situasi di lapangan.
“Perkara ini perlu ditangani secara berhati-hati kerana melibatkan emosi haiwan yang sedang berduka. Ubat pelali diperlukan untuk mengelakkan ibu gajah daripada bertindak luar kawalan yang boleh membahayakan orang ramai mahupun dirinya sendiri,” jelas beliau.
Mengulas lanjut, beliau menolak tanggapan bahawa ibu gajah bertindak agresif sebagai reaksi balas dendam terhadap manusia.
“Saya tidak fikir ia bertindak kerana dendam. Sebaliknya, gajah mempunyai daya ingatan yang sangat kuat dan besar kemungkinan haiwan ini akan terus mengingati kejadian itu untuk tempoh yang lama,” katanya.
Dr Kevin turut mengingatkan orang ramai, khususnya pemandu yang menggunakan laluan JRTB, agar lebih berhati-hati dan mematuhi papan tanda amaran lintasan hidupan liar yang telah dipasang di kawasan tersebut.
“Papan tanda itu bukan sekadar hiasan. Ia amaran penting yang perlu diberi perhatian. Pemandu harus lebih berwaspada, terutama waktu malam atau awal pagi,” katanya.
Terdahulu, video berdurasi satu minit 11 saat yang memaparkan ibu gajah cuba ‘menyelamatkan’ anaknya selepas dirempuh tular di media sosial dan mengundang simpati warganet. - Sinar Harian