MALAYSIA
Ibu gajah setia tunggu anak terkena jerat di ladang sawit

Tangkap layar hantaran tular di media sosial menunjukkan kaki anak gajah tersebut tersangkut pada tali lembu di ladang kelapa sawit berhampiran Felda Neram II, Kemaman pada Khamis lalu. - Foto TikTok Fendyalwi91
KEMAMAN: Aksi seekor ibu gajah liar yang enggan berganjak dari sisi anaknya yang terkena jerat di sebuah ladang kelapa sawit berhampiran Felda Neram II, di sini, menyentuh hati dan meraih perhatian ramai.
Ringkasan AI
- Seekor anak gajah liar terkena jerat tali lembu di sebuah ladang kelapa sawit berhampiran Felda Neram II, dan ibunya enggan berganjak dari sisi anaknya walaupun gajah lain telah beredar, menyentuh hati ramai.
- Pasukan Perhilitan berjaya menyelamatkan anak gajah tersebut selepas menenangkan ibu gajah dengan pelali, memotong jerat, dan memastikan anak gajah tidak mengalami kecederaan serius.
- Jerat dipercayai dipasang oleh penternak lembu di kawasan ladang yang sering menjadi laluan gajah liar, dan pihak Perhilitan kini sedang menyiasat serta memperkemas langkah pemantauan di kawasan berisiko.
Jelas beliau, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu kira-kira jam 2.30 petang sebelum enam anggota digerakkan ke lokasi berkenaan.
"Sebaik tiba, kami dapati seekor anak gajah terkena jerat di bahagian kaki, manakala lima ekor gajah dewasa berada berhampiran, termasuk ibu kepada anak gajah itu," katanya ketika dihubungi pemberita di sini, pada Ahad.
Menurutnya, bagi memastikan operasi menyelamat berjalan lancar, anggota Perhilitan terpaksa melepaskan tembakan pelali ke arah gajah betina berkenaan.
"Selepas ibu gajah tidak sedarkan diri, anggota Perhilitan bertindak menghalau gajah dewasa lain sebelum memotong jerat yang membelit kaki anak gajah terbabit.
"Pemeriksaan mendapati anak gajah tidak mengalami kecederaan serius dan berada dalam keadaan stabil," katanya.
Beliau berkata, ibu gajah itu kemudiannya diberikan antidot bagi memulihkan kesan pelali sebelum ia kembali sedar dan dilepaskan semula kepada kawanan gajah liar berkenaan.
"Jerat yang dipasang dipercayai milik penternak lembu yang menjadikan kawasan ladang tersebut sebagai laluan ternakan.
"Difahamkan, berlaku gangguan gajah liar di ladang itu pada waktu pagi dan pihak pengurusan ladang telah mengambil langkah menghalau kumpulan tersebut keluar.
"Ada kemungkinan anak gajah itu tersasar lalu terkena jerat ketika cuba kembali ke hutan," jelasnya. - Sinar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami