KUALA LUMPUR: Ibu yang sedang hamil atau yang sedang menyusukan anak kini telah boleh mengemaskini status mereka di aplikasi MySejahtera.

Menurut Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin, janji temu golongan itu akan dibuat berdasarkan vaksin yang sesuai di Pusat Pemberian Vaksin (PPV).

"Anda boleh memasukkan bulan dan tahun melahirkan anak serta status penyusuan," katanya di ciapan Twitter, pada Rabu.


Sebelum ini, Khairy menyatakan ibu yang sedang hamil dan menyusukan anak hanya disaran mengambil vaksin COVID-19 keluaran Pfizer.

Khairy berkata, kedua-dua kumpulan itu tidak disarankan untuk menerima vaksin Sinovac dan AstraZeneca kerana data keberkesanan dan kesan sampingan membabitkan dua vaksin itu kepada kumpulan terbabit tidak mencukupi.

Sehubungan itu, katanya, Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) sudah diarah untuk mengatur dan menyelaras dengan hospital serta pusat pakar perubatan ibu dan kanak-kanak untuk mengutamakan pengagihan vaksin Pfizer kepada ibu mengandung.