Ibu kanak-kanak mangsa dera gembira dapat sambut raya bersama anak

Bernama
Julai 13, 2015 00:00 MYT
Mangsa dera Nur Zuliana Zaara Zulkifli, 5, menunjukkan orang yang disyaki menderanya ketika tiba di perkarangan Mahkamah Sesyen Pasir Mas pada Ahad. - Foto Bernama
Ibu kanak-kanak perempuan mangsa dera, Sana Abdul Malek, 23, menyifatkan sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini, lebih bermakna buat dirinya apabila dapat meraikannya bersama anaknya.
Beliau berkata semua persiapan raya untuk anaknya Nur Zuliana Zaara Zulkifli, 5, atau Yaya telah dilakukan sejak awal lagi.
"Walaupun Yaya masih trauma dengan apa yang berlaku ke atas dirinya, saya telah pastikan segala persiapan untuk menyambut Aidilfitri disediakan sejak awal lagi.
"Apa yang lebih menggembirakan saya, Yaya berkali-kali minta nak balik rumah.. nak balik beraya bersama kami," katanya ketika ditemui pemberita di sini, Ahad.
BACA: Sepasang suami isteri mengaku tidak bersalah dera anak
VIDEO: Pasangan mengaku tidak bersalah dera anak
Katanya sebagai seorang ibu, beliau amat lega melihat kesihatan Yaya yang bertambah baik sejak mendapat rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII).
Sementara itu, beliau berharap hukuman setimpal akan dikenakan ke atas mereka yang bertanggungjawab melakukan perbuatan mendera anaknya.
Nur Zuliana disyaki telah didera oleh ibu tirinya semasa tinggal di rumah bapanya sejak dua tahun lalu di Rantau Panjang dekat sini, dan kejadian itu disedari oleh ibu kandungnya selepas diserahkan kepadanya bulan lepas.
Akibat daripada itu, Nur Zuliana disahkan mengalami kecacatan kekal selepas patah 13 tulang termasuk tulang belakangnya.
#dera kanak-kanak #ibu tiri #Nur Zuliana Zaara