MALAYSIA
Ibu kandung, bapa tiri kanak-kanak OKU mati didera direman
Ibu kandung dan bapa tiri direman tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. - Foto Sinar Harian
MELAKA: Ibu kandung dan bapa tiri dipercayai mendera anak perempuan mereka berusia sembilan tahun dan merupakan orang kurang upaya (OKU) cacat fizikal hingga maut direman tujuh hari di Mahkamah Majistret, di sini, pada Selasa.
Ringkasan AI
- Ibu kandung dan bapa tiri direman tujuh hari bagi siasatan kes penderaan yang menyebabkan kematian anak perempuan OKU berusia sembilan tahun di Arau.
- Mangsa mengalami kecederaan serius termasuk patah kaki dan lebam, dipercayai akibat didera sebelum meninggal dunia semasa menerima rawatan di hospital swasta.
- Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan (bunuh) dan pasangan tersebut dibawa ke Mahkamah Majistret untuk permohonan reman.
Perintah reman terhadap pasangan berusia 36 dan 38 tahun itu dikeluarkan oleh Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman sehingga Isnin ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Terdahulu, pasangan suami isteri yang baharu empat tahun mendirikan rumah tangga itu dan memakai baju lokap jingga tiba di pekarangan mahkamah kira-kira jam 9 pagi dengan menaiki kenderaan polis sebelum dibawa keluar dari Mahkamah sejam kemudian.
Dipercayai mangsa merupakan OKU yang tidak boleh berjalan dan merupakan anak kedua daripada tiga beradik termasuk mempunyai seorang adik tiri berusia tiga tahun hasil perkahwinan baharu wanita itu bersama lelaki terbabit.
Wanita berusia 36 tahun dan lelaki berusia 38 tahun selepas dibawa keluar dari Mahkamah Majistret untuk permohonan reman.
Terdahulu Sinar Harian melaporkan seorang kanak-kanak perempuan maut dipercayai didera oleh bapa tiri.
Menurut sumber, insiden yang menimpa kanak-kanak malang itu terbongkar selepas polis menerima panggilan daripada sebuah hospital swasta sekitar jam 9.45 pagi.
“Difahamkan pihak hospital memaklumkan terdapat kesan yang disyaki akibat dera selepas mangsa dihantar oleh bapa tirinya untuk mendapatkan rawatan di pusat perubatan berkenaan.
“Lebih menyedihkan, pemeriksaan mendapati mangsa mengalami patah kaki serta kesan lebam di kepala dan badan,” katanya.
Tambahnya, mangsa yang berada dalam keadaan parah dipercayai meninggal dunia ketika menerima rawatan di wad kecemasan hospital berkenaan. -- Sinar Harian