SUNGAI PETANI: Dua wanita termasuk ibu kandung mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Sungai Petani hari ini atas tuduhan mendera seorang remaja perempuan berusia 13 tahun pada Julai dan awal bulan ini.

Ibu mangsa, K Subatradevi, 41, berdepan dua pertuduhan di Mahkamah Sesyen 2 di hadapan Hakim Azman Abu Hassan, sementara rakannya yang berperwatakan seperti lelaki, G. Sasikalah, 34, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen 1 (Hakim Roslan Hamid).

Kedua-dua tertuduh membuat pengakuan itu sebaik kesemua pertuduhan dibacakan jurubahasa dalam bahasa Tamil.

Mengikut pertuduhan pertama ibu mangsa didakwa menganiaya mangsa dengan cara yang menyebabkan kecederaan di muka, dahi, kepala, tangan dan siku kiri pada pukul 11.30 pagi pada 1 Ogos lalu.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa melakukan perbuatan sama yang menyebabkan kecederaan di bahagian depan badan pada pukul 12 tengah hari pada Julai lalu.

Rakannya pula didakwa melakukan perbuatan sama yang menyebabkan kanak-kanak berkenaan mengalami kecederaan di muka serta kepala pada pukul 11 pagi pada 31 Julai lalu.

Kesemua kesalahan tersebut dilakukan di rumah yang didiami mereka di Blok H, Flat Paya Nahu 1, Sungai Petani.

Pertuduhan terhadap Subatradevi yang diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Ruzanna Abdul Rahim dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Negeri, Nabilah Md Ruslan.

Sementara pendakwaan ke atas Sasikalah yang tidak diwakili peguam dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Negeri, Wan Muhammad Fitri Wan Azizan.

Kesemua pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan Subatradevi diikat jamin RM5,000 untuk kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin manakala rakannya dibenarkan jamin RM8,000 dengan seorang penjamin.

Kedua-dua tertuduh tidak dibenarkan untuk mendekati mangsa yang kini berada di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Mahkamah menetapkan 6 dan 11 September bagi sebutan semula bagi kedua-dua kes.