Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 – Trump & Pemimpin Serantau Berhimpun – Sorotan, Video & Analisis – Ikuti Di Sini
GADGETS

Ibu pejabat ASEAN AI Safe dibuka di Kuala Lumpur awal tahun depan - Gobind

Bernama 28/10/2025 | 09:40 MYT
Gobind berkata, ASEAN AI Safe merupakan agensi rangkaian yang menghimpunkan semua negara anggota badan serantau itu untuk membincangkan kerjasama bagi membangunkan ekosistem AI yang selamat. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Ibu pejabat Rangkaian Keselamatan Kecerdasan Buatan (AI) ASEAN (ASEAN AI Safe) akan dibuka di sini awal tahun depan, kata Menteri Digital Gobind Singh Deo.

Beliau berkata, Sekretariat ASEAN AI Safe akan memainkan peranan menyediakan jadual program yang akan diadakan menerusi inisiatif itu bagi tujuan memperkukuh kolaborasi.

Gobind berkata, ASEAN AI Safe merupakan agensi rangkaian yang menghimpunkan semua negara anggota badan serantau itu untuk membincangkan kerjasama bagi membangunkan ekosistem AI yang selamat.

"Kita perlu lihat bagaimana kita boleh adakan perbincangan berkenaan dengan mewujudkan satu rangkaian bagi memastikaan penggunaan AI di rantau ASEAN adalah selamat.

"Jadi perlu ada kolaborasi, perbincangan supaya setiap negara dapat melihat struktur-struktur yang diwujudkan dalam negara masing-masing dan bagaimana kita boleh wujudkan satu suasana iaitu setiap negara ASEAN melihat kebersamaan berkaitan dengan polisi (keselamatan AI)," katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas merasmikan Sidang Kemuncak Powering the Intelligent Age: Driving Innovation with Southeast Asia and Beyond di sini hari ini, yang dianjurkan Kementerian Digital melalui Pusat Revolusi Perindustrian Keempat Malaysia (MYCentre4IR), dengan kerjasama Forum Ekonomi Dunia (WEF).

Sidang kemuncak itu menghimpunkan lebih 400 delegasi dari 14 negara termasuk pembuat dasar kanan, wakil korporat, penyelidik dan pengasas syarikat pemula.

Sementara itu, Kementerian Digital dalam kenyataan memaklumkan ASEAN AI Safe adalah sebuah mekanisme serantau untuk menyokong Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan Digital ASEAN (ADGSOM) dan Kumpulan Kerja Tadbir Urus Kecerdasan Buatan (WG-AI), meningkatkan kapasiti serantau, memupuk kerjasama, menggalakkan penyelidikan dan usaha inovasi dalam keselamatan AI serta meningkatkan penggunaan keselamatan AI.

ASEAN AI Safe akan dipandu oleh rangka kerja serantau sedia ada seperti Pelan Induk Digital ASEAN 2025, Panduan Tadbir Urus dan Etika Kecerdasan Buatan, Garis Panduan Lengkap mengenai Tadbir Urus Dan Etika Generatif Kecerdasan Buatan serta Peta Hala Tuju Kecerdasan Buatan Bertanggungjawab ASEAN 2025-2030.

"Ia juga sejajar dengan rangka kerja masa hadapan seperti Pelan Induk Digital ASEAN 2030 dan Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital ASEAN, khususnya untuk memupuk kerjasama dalam membina sistem AI yang selamat dan terjamin dalam kalangan negara anggota ASEAN," menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA


#kecerdasan buatan #Rangkaian Keselamatan Kecerdasan Buatan #Berita Terkini ASEAN25 #ASEAN AI Safe