Terkini: Kes Kematian Zara Qairina – Ikuti Perkembangan di Sini
MALAYSIA

Ibu pengasas Amazon, Jeff Bezos meninggal dunia pada usia 78 tahun

Bernama 15/08/2025 | 10:40 MYT
Dalam hantaran di Instagram bersama fotonya, Bezos, 61, mengenang kehidupan ibunya yang bermula "agak awal" apabila menjadi seorang ibu pada usia 17 tahun. - Foto IG Jeff Bezos
NEW YORK: Jackie Bezos, ibu kepada pengasas Amazon Jeff Bezos, meninggal dunia pada Khamis pada usia 78 tahun selepas bertarung dengan penyakit demensia, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Dalam hantaran di Instagram bersama fotonya, Bezos, 61, mengenang kehidupan ibunya yang bermula "agak awal" apabila menjadi seorang ibu pada usia 17 tahun.

"Perkara itu tentu tidak mudah, tetapi beliau berjaya mengatasinya.

"Beliau mencurahkan kasih sayang sepenuh hati kepada saya, membawa ayah saya yang hebat menyertai keluarga beberapa tahun kemudian, dan kemudian menambah adik-beradik saya ke dalam senarai insan yang beliau sayangi, lindungi dan besarkan," tulisnya.

Bezos berkata ibunya menghembuskan nafas terakhir "dikelilingi ramai insan yang menyayanginya - anak-anak, cucu-cucu dan ayah saya".




Ucapan takziah turut diterima daripada selebriti termasuk Antonio Banderas, Sharon Stone, Naomi Campbell dan Miranda Kerr.

Lauren Sanchez, bekas wartawan yang berkahwin dengan Bezos dalam majlis mewah di Venice pada Jun lalu, menulis: "Kami akan sangat merinduinya."

Yayasan Keluarga Bezos dalam kenyataan memaklumkan Jackie disahkan menghidap "Lewy Body Dementia", iaitu penyakit saraf progresif, pada 2020.

Beliau pernah berkhidmat sebagai presiden yayasan itu yang menyalurkan geran pendidikan.

-- BERNAMA


#Jackie Bezos #Amazon Jeff Bezos #Lewy body dementia #Jackie Bezos meninggal dunia