KUALA LUMPUR: Seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun dilaporkan hilang dari rumahnya di Perumahan Awam Sri Selangor, Jalan San Peng, di sini pada Selasa.

Ibu mangsa, Syarifah Rosfazila Syed Mohd Fazili, 41, berkata, anak sulongnya, Siti Dhia Batrisyia Mohd Chairil Anuar didapati tidak pulang selepas keluar rumah pada hari kejadian.

"Waktu kejadian saya keluar ke kedai untuk beli barang bagi juadah berbuka (puasa). Masa itu Dhia ada di rumah.

"Bila pulang, Dhia tiada di rumah dan saya syak dia keluar ikut rakan luar dari kawasan rumah ini," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.

Tambah Syarifah, susulan itu satu laporan polis telah dibuat di Balai Tun H S Lee, pada Khamis.

Ujarnya, mohon bantuan daripada semua untuk bersama-sama mendoakan dan membantu menyebarkan hebahan ini kepada semua komuniti.

"Sekiranya menemui atau terlihat Dhia di mana-mana, mohon hubungi saya di talian 012-6411600," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya ketika dihubungi mengesahkan laporan polis yang dibuat ibu mangsa.

"Usaha mencari kanak-kanak ini masih dalam tindakan pihak polis dan setakat ini kes diklasifikasi sebagai Orang Hilang," katanya. - Sinar Harian