"Ibu saya ucap dua kalimah syahadah" - Firdaus Wong sebak

Astro Awani
Oktober 25, 2019 10:00 MYT
Firdaus Wong membimbing ibunya melafazkan kalimah syahadah. - Gambar Instagram FIRDAUS WONG
TIADA apa yang membahagiakan pendakwah bebas Firdaus Wong selain daripada bersyukur kerana ibu kandungnya akhirnya menerima hidayah daripada Allah.
Selepas 14 tahun beliau memeluk Islam, kali ini, giliran ibunya pula mengucap kalimah syahadah.
Namun, apa yang membuatkan Firdaus bersyukur ialah beliau sendiri yang mengIslamkan ibunya.
Berita itu dikongsi Firdaus di laman Instagram peribadinya pada Jumaat.
"Alhamdulilah Allahuakbar. Setelah 14 tahun saya memeluk Islam, hari ini ibu tercinta saya pula dengan mengucapkan syahadah. Allahuakbar.
"Ini bukan syahadah pertama yang saya kendalikan tetapi ini adalah syahadah yang saya paling nervous dan sebak kerana yang mengucap syahadah adalah ibu saya sendiri," kata Firdaus.
Beliau turut berkongsi rasa sebak sehingga sukar mengawal air mata sejurus ibunya melafazkan kalimah syahadah.
"Alhamdulilah. Saya tidak dapat menahan airmata saya seusai ibu saya mengucapkan dua kalimah syahadah dan memeluknya. .
"Jazakumullahu Khairan kepada sahabat yang sering menyokong dan mendoakan kami. Teruskan sokongan dan doa anda. Berharap selepas ini ayah, kakak, abang, anak saudara, keluarga mertua saya juga dikurniakan hidayah oleh Allah Subhana Wa Ta’ala. Allahuma Ameen," kata Firdaus lagi.
Dalam entri yang sama, Firdaus mendoakan agar seluruh umat Islam akan lebih istiqamah dalam agama suci itu.
"Alhamdulilah Alhamdulilah Alhamdulilah. Allahuakbar Allahuakbar Allahuakbar. Doakan kita semua istiqomah di dalam Islam dan mati sebagai Muslim. Allahuma Ameen,' tulis Firdaus.
Entri Firdaus mendapat hampir 12,000 like daripada pengikutnya selain hampir 2,000 komen dimuat naik sehingga pukul 6.10 petang Jumaat.
#Firdaus Wong #ibu peluk Islam #pendakwah bebas #selepas 14 tahun