MALAYSIA
Ibu syak Zayn Rayyan dicekup, dilarikan

Ibu kepada Zayn Rayyan Abdul Matin, Ismanira Abdul Manaf, 30, hadir ke Mahkamah Sesyen hari ini. - Foto BERNAMA
PETALING JAYA: Ibu kepada Zayn Rayyan Abdul Matin, Ismanira Abdul Manaf mendakwa anaknya dicekup dan dilarikan ketika mereka sedang menaiki tangga menuju ke rumah pada hari kejadian.
Ringkasan AI
- Ismanira mendakwa anaknya, Zayn Rayyan, dilarikan ketika menaiki tangga ke rumah kerana tidak dengar bunyi tapak kakinya.
- Namun, keterangan Ismanira dipersoal kerana tiada bunyi tapak kaki lain juga didengar, dan kenyataannya di mahkamah bercanggah dengan laporan polis.
- Mahkamah membebaskan suaminya, manakala Ismanira perlu membela diri atas tuduhan mengabaikan Zayn sehingga membawa risiko kecederaan fizikal.
TPR: Semalam puan kata sedar Zayn hilang selepas tak ada bunyi tapak kaki, kasut. Masa bila puan sedar?
Ismanira: Ketika saya sudah naik separuh tangga (tingkat 1) ke rumah. Saya syak anak (Zayn) dicekup dan dilarikan kerana saya langsung tak dengar bunyi tapak kasutnya.
Bagaimanapun, Ismanira gagal memberi jawapan konsisten ketika dicadangkan TPR bahawa tapak kaki penjenayah juga boleh didengari jika benar Zayn dilarikan.
TPR: Puan setuju kalau saya katakan, kalau dia dilarikan pasti puan dengar bunyi tapak kaki orang itu?
Ismanira: Ya.
TPR: Tapi puan tak dengar?
Ismanira: Betul.
TPR: Jadi puan setuju kalau saya kata tak ada orang larikan anak puan?
Ismanira: Tak setuju.
Ismanira turut menafikan dia tidak bercakap benar ketika ditanya tentang kenyataannya di mahkamah bahawa Zayn hanya meragam sedikit ketika tidak dibenarkan bermain buaian lebih lama, yang bertentangan dengan kenyataan yang dibuat dalam laporan polis di mana Zayn disebut mengamuk.
Perbicaraan bela diri akan bersambung esok.
Ismanira bersama suaminya, Zaim Ikhwan Zahari, sebagai penjaga kepada Zayn Rayyan, 6, didakwa telah mengabaikan kanak-kanak itu sehingga berisiko menyebabkan kecederaan fizikal.
Kesalahan itu didakwa berlaku di kawasan Blok R, Pangsapuri Idaman, Damansara Damai, hingga ke lokasi anak sungai berdekatan, antara jam 12 tengah hari pada 5 Disember 2023 hingga 9.55 malam keesokannya.
Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pada Isnin, Mahkamah Sesyen melepas dan membebaskan Zaim selepas mendapati tiada elemen pengabaian dibuktikan oleh pihak pendakwaan, manakala Ismanira, diperintah membela diri kerana wujud kes prima facie terhadapnya.
Zayn Rayyan dilaporkan hilang pada 5 Disember 2023 sebelum ditemukan meninggal dunia di anak sungai berhampiran kediamannya kira-kira 200 meter dari Blok R, pada malam keesokannya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami