Ibu Nurul Ain Farisha Md Zainuddin, bayi tujuh bulan yang maut selepas ditimpa runtuhan dinding di rumahnya akibat rempuhan sebuah kereta, terkilan kerana gagal menyelamatkan nyawa anak perempuannya itu.

Zulfairuh Ismail, 35, berkata kejadian kira-kira 8.30 pagi itu berlaku dalam sekelip mata dan beliau cuma mampu menahan dengan tangan baki bongkah dinding daripada terus menimpa anaknya.

"Saya berada di muka pintu ketika kereta berkenaan merempuh rumah. Saya terus melihat bongkah batu dinding menimpa seluruh badan anak saya yang sedang tidur dan hanya sedikit bahagian kaki yang tidak dihempap.

"Saya kemudian terpaksa menahan baki bongkah dinding daripada terus jatuh menimpa anak saya," katanya kepada pemberita di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pasir Putih, Pasir Gudang, di sini hari ini.

Zulfairuh berkata Nurul Ain Farisha, anak bongsu daripada tiga beradik, tidur di ruang tamu rumah berkenaan, yang dihuninya sejak 2008, setiap hari.

"Kebiasaannya Nurul Ain Farisha yang mesra dipanggil 'adik' sudah bangun dari tidur ketika bapanya sedang bersiap keluar bekerja namun, pagi ini dia tidur lebih lama berbanding biasa," katanya.

"...sikit sahaja lagi saya hampir selamatkannya. Kalau saya tahu, saya dukung dia pagi ini," katanya sambil memberitahu bahawa biasanya beliau mendukung anaknya itu semasa menyiapkan sarapan.

Zulfairuh juga berkata anaknya itu belum pandai melambai tangan tetapi malam tadi, dia melambai tangan sebanyak tiga kali kepada ayahnya sebelum masuk tidur di bilik selain tidak meragam sepanjang tidur.

Menurutnya beliau sempat melihat Nurul Ain Farisha dalam keadaan berdarah di hidung tetapi matanya celik ketika dalam dakapan lelaki Pakistan, yang juga jirannya, semasa dibawa ke klinik.

Sementara itu, lelaki Pakistan berkenaan, Rahmanullah Syerzada, 23, berkata beliau sedang berbual menerusi telefon bimbit di ruang tamu rumahnya sebelum terdengar dentuman kuat dari rumah Zulfairuh.

"Saya terus masuk ke ruang tamu dan melihat batu dinding dan jeriji tingkap sudah menghempap bayi itu. Saya kemudian mengalihkan batu dan mengangkat bayi terbabit," katanya yang berjiran dengan Zulfairuh sejak lebih dua tahun lepas.

Buruh binaan itu berkata beliau segera mendukung Nurul Ain Farisha sambil berjalan ke dua klinik kira-kira 200 meter dari rumah mereka, namun kedua-dua klinik itu tutup sebelum bayi itu kemudian dihantar ke hospital berdekatan oleh bapanya, Md Zainuddin Razmi, 31.

Menurutnya ketika dalam pangkuannya, beliau melihat darah mengalir di bahagian mata, telinga dan hidung Nurul Ain Farisha dan bayi itu juga mula mengalami kesukaran bernafas.

Dalam kejadian itu, Nurul Ain Farisha cedera parah di kepala selepas ditimpa runtuhan dinding rumahnya yang dirempuh kereta di Jalan Mesra 2, Kampung Pasir Putih dekat Pasir Gudang.

Bayi itu dibawa ke Hospital Sultan Ismail, di sini, oleh bapanya dan disahkan meninggal dunia kira-kira 9.45 pagi.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Johor Supt Dzulkhairi Mukhtar berkata siasatan awal mendapati pemandu wanita kereta Hyundai Matrix itu dipercayai tertekan padel minyak sistem automatik kereta itu sebelum sempat menukar gear undur.

Wanita berumur 40 tahun itu kini ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

--BERNAMA