KUALA NERUS: Seorang ibu tidak menyangka panggilan video yang diterima petang semalam merupakan panggilan terakhir daripada anak lelakinya yang maut dalam kebakaran rumah di Kampung Tok Jembal, di sini, awal pagi tadi.
Siti Nasuha Mohd, 32, berkata anaknya, Rehan Yusuf Amirul Fahmi, 9, diletakkan di bawah jagaan bekas suami, Amirul Fahmi Wan Jusoh, 40, yang turut terkorban dalam kemalangan itu, selepas beliau berhijrah ke Kuala Lumpur untuk mencari pekerjaan.
“Memang setiap malam kami akan berbual melalui panggilan video, biasanya sehingga 10 malam. Malam tadi, dia ada membuat panggilan video pada 7.28 malam, tetapi saya tidak sempat menjawab kerana sibuk bekerja. Selepas pulang dari kerja kira-kira 12.30 tengah malam, saya membuka pesanan suara yang ditinggalkannya menerusi WhatsApp. Dalam pesanan itu, dia beritahu ‘abang sayang ibu dan ibu Ji’ (ibu tiri).
“Saya ada membuat panggilan video, tetapi tiada jawapan. Mungkin dia sudah tidur kerana hari ini merupakan hari persekolahan,” katanya ketika ditemui di Unit Perubatan Forensik Hospital Sultan Mizan Zainal Abidin (HoSZA), di sini, hari ini.
Siti Nasuha berkata beliau menerima berita mengenai kebakaran itu pada sekitar 3.15 pagi tadi menerusi panggilan telefon daripada kakaknya yang tinggal di Kuantan, Pahang, sebelum bergegas pulang seorang diri dengan menaiki kereta kira-kira 4 pagi.
Ketika dalam perjalanan, Siti Nasuha berkata beliau dihubungi bekas ibu mentuanya yang memaklumkan Amirul Fahmi dan Rehan Yusuf yang berada di bilik tidur di tingkat atas masih belum dapat menyelamatkan diri.
“Sepanjang perjalanan saya menangis dan berdoa supaya Allah SWT menyelamatkan bekas suami dan anak namun sekitar 6 pagi, emak telefon dan memaklumkan kedua-duanya tidak dapat diselamatkan.
“Walaupun sedih, saya terpaksa menggagahkan diri memandu seorang diri. Alhamdulillah, saya selamat sampai sekitar 8 pagi tadi. Bagaimanapun perasaan terkilan kerana tidak menjawab panggilan video semalam masih ada, apatah lagi apabila teringat kata-kata terakhirnya,” katanya sambil menahan sebak.
Sementara itu, isteri kepada Allahyarham Amirul Fahmi, Nur Izzah Ahmad, 36, berkata ketika kejadian beliau serta dua lagi anak lelaki yang berusia empat tahun dan tiga bulan bermalam di rumah keluarganya di Kampung Paloh, Kuala Terengganu.
Bagaimanapun, beliau berkata suami dan anak tirinya bergerak pulang ke rumah ibu mentuanya pada petang semalam memandangkan hari ini merupakan hari persekolahan.
Nur Izzah yang bekerja sebagai kerani di sebuah restoran di Bandaraya Kuala Terengganu berkata selepas berkahwin pada 2021, dia dan suami tinggal secara bergilir-gilir di rumah keluarga masing-masing kerana belum memiliki rumah sendiri.
“Kami merancang untuk menetap di rumah ibu mentua di Kampung Tok Jembal mulai bulan depan. Sebab itu kami sudah membeli dan membawa masuk banyak barangan ke rumah berkenaan sebagai persediaan.
“Semalam, arwah suami meminta saya mengambil cuti kerana anak kami yang berusia tiga bulan tidak sihat. Tidak sangka, dalam sekelip mata saya kehilangan anak dan suami,” katanya.
Nur Izzah berkata jenazah suami dan anak tirinya dijangka disolatkan di Masjid Jamek Tok Jembal sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tok Jembal lewat petang ini.
Dalam kejadian kira-kira 2.48 awal pagi tadi, dua beranak maut manakala seorang ahli keluarga berjaya diselamatkan dalam kebakaran di Kampung Tok Jembal, dekat sini.
-- BERNAMA