Seorang ibu tunggal bersama anak lelakinya tinggal sehelai sepinggang apabila rumah yang mereka diami di Kampung Teluk Sira, dekat sini hangus dalam kebakaran semalam.

Ketika kejadian, Che Ama Sonan, 52, dan anaknya Mohamad Firdaus Razali, 16, sedang tidur di ruang tengah rumah itu.

"Saya tersedar apabila tersedak dan mendapati asap berkepul-kepul dalam rumah...dalam keadaan gelap itu saya bangunkan anak saya dan kami sempat lari keluar rumah menyelamatkan diri dan teriak (menjerit) minta tolong jiran-jiran," katanya ketika ditemui di sini.

Che Ama menetap di rumah milik kakaknya Che Ngah Sonan, 56, sejak 2002 lalu selepas kematian suaminya Razali Shaari, seorang anggota polis, akibat sakit paru-paru.

Che Ama dan anak lelakinya kini menumpang di rumah abangnya Rashid Sonan yang terletak di seberang jalan hadapan rumah yang terbakar itu.

Timbalan Pegawai Penjaga Balai Bomba dan Penyelamat Serdang Abdullah Abidin berkata pihaknya mendapat panggilan kecemasan pada pukul 3.21 pagi.

"Sebuah jentera dengan enam anggota mengambil masa 20 minit untuk mengawal kebakaran dan memadamkan api yang telah memusnahkan 80 peratus daripada bangunan rumah batu setingkat itu," katanya.

Beliau berkata pihaknya tidak menolak kemungkinan litar pintas sebagai punca kebakaran dan kerugian awal ditaksir RM60,000.

Sementara itu, Ketua Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Kulim/Bandar Baharu Mustafa Kamal Shaikh Ismail, Pegawai Khas Penyelaras Parlimen Kulim/Bandar Baharu Helimi Abdul Khan, Ketua Pergerakan Wanita Umno bahagian Datin Rokiah Hassan bersama Skuad Sayang melawat mangsa bagi menyampaikan bantuan wang tunai dan pakaian terpakai.