KEMAMAN: Cekal. Itulah yang dapat digambarkan pengorbanan seorang ibu tunggal di Kampung Geliga Kemaman dalam membesarkan lapan orang cahaya mata termasuk termasuk tiga darinya merupakan orang kelainan upaya (OKU).

Kecekalan dan kegigihan Zaribut Abdul Hadi yang berusia 45 tahun semakin berganda selepas terpaksa menggalas tanggungjawab sebagai ketua keluarga akibat kehilangan suami tercinta.

Zaribut berkata, suaminya sudah tiga tahun menderita menghidap penyakit kanser dan baru sahaja meninggal dunia pada Selasa lalu selepas pembedahan di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu.

Ibu tunggal itu berkata, kehidupannya bersama anak yang berusia antara enam sehingga 22 tahun bertambah sulit ditambah dengan penderitaan penyakit hypo tirod sejak dari umur 22 tahun dan terpaksa bergantung hidup dengan ubat bagi mengurangkan kesakitannya.

Meskipun mempunyai masalah kesihatan, dia terpaksa menguruskan tiga orang anak istimewa berusia 6, 16 dan 20 tahun yang menghidap penyakit hyper active, autisma dan hilang keupayaan fizikal.

Bagi menampung hidup, Zaribun kini menjual kerepek keju yang diusahakannya sendiri dengan purata pendapatan sebanyak RM200 sebulan bagi meneruskan hidup serta menanggung kos persekolahan anaknya.

Keadaan tersebut menimbulkan kesukaran kepadanya kerana dengan pendapatan sebanyak itu, dia juga terpaksa menanggung kos perjalanan perubatan seorang anaknya yang hilang keupayaan fizikal di hospital pakar di Kuantan, Pahang.

“Pendapatan sebulan itu tidak menentu, purata, kadang-kadang tidak sampai RM200.

“Memang terhad sebab hendak hantar anak ke hospital, saya sendiri berulang-alik ke klinik.” katanya.

Jelasnya, dia terpaksa melupakan kesakitan yang dialaminya dengan mengagahkan diri mencari rezeki untuk diri sendiri dan anak-anak meneruskan kehidupan.

Apatah lagi, Syawal yang bakal tiba juga dilihat suram kerana ketiadaan insan yang tersayang dan dia juga kekurangan wang untuk melakukan persiapan membeli pakaian baharu untuk anak-anaknya.

“Memang terasa arwah ini tidak ada. Selalu arwah yang sediakan, kita cuma masak sahaja, arwah yang beli bahan. Jadi bila arwah sudah tidak ada, apa yang ada inilah.

“Kalau ada orang bagi sumbangan, kita makan, itu pun sudah banyak syukur, makan sahaja apa yang ada,” ujarnya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Kampung (JPKK) Kampung Geliga, Wan Ahmad Darus Wan Musa ketika dihubungi berkata, pihaknya kini sedang berusaha bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) bagi membolehkan ibu tunggal terbabit mendapat bantuan bulanan.

Menurutnya, pihak JKM dan MAIDAM telah melakukan lawatan terhadap keluarga tersebut bagi melihat sendiri permasalahan yang dihadapi dan pihaknya akan berusaha untuk mempercepatkan bantuan yang layak diterima oleh keluarga terbabit.