KUALA LUMPUR: Seorang ibu tunggal dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini berkaitan kes mengabaikan anak perempuannya berumur 15 tahun sehingga mangsa terlibat dalam perbuatan seksual.
Wanita berusia 32 tahun itu mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Dr Azrol Abdullah.
Mengikut pertuduhan, wanita itu yang mempunyai pemeliharaan terhadap anak perempuannya didakwa telah mendedahkan mangsa yang mungkin menyebabkannya atau membenarkannya dianiayai dari segi seks.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah kediaman di Taman Yarl di sini, antara 1 Sept hingga 5 Okt lepas, mengikut Seksyen 31(1)(b) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Hench Goh memohon jaminan RM10,000, namun peguam Leo Yap yang mewakili tertuduh memohon jaminan minimum kerana anak guamnya yang merupakan ibu tunggal dan bekerja dalam bidang pengurusan acara berpendapatan tidak tetap.
“Anak guam juga menghidap kanser serviks dan memerlukan kos rawatan susulan selain dia telah memberikan kerjasama yang baik sepanjang siasatan,” kata peguam itu.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin warganegara Malaysia berusia 50 tahun ke bawah serta melapor diri di balai polis berhampiran kediaman sebulan sekali dan menetapkan sebutan kes pada 3 Dis ini.
Difahamkan tertuduh membuat laporan polis berkaitan anaknya itu dan kemudiannya polis menjalankan siasatan terhadap kes tersebut.
-- BERNAMA