Ibu tunggal didakwa abaikan tiga anak kandung

Astro Awani
Julai 11, 2019 11:45 MYT
Mengikut pertuduhan, Siti Minah telah membiarkan tiga anaknya yang berusia enam hingga 12 tahun tinggal tanpa mengadakan persediaan bagi pengawasan dan pemeliharaan yang berpatutan. - Astro AWANI
Seorang ibu tunggal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Berang atas tiga pertuduhan mengabaikan anak kandungnya.
Tertuduh, Siti Minah Muhammad, 32 tahun, memohon dibicarakan ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Engku Nurul Ain Engku Muda mengikut Seksyen 33(1)(A) Akta Kanak-Kanak 2001.
Mengikut pertuduhan, tertuduh telah membiarkan tiga anaknya yang berusia enam hingga 12 tahun tinggal tanpa melakukan persediaan bagi pengawasan dan pemeliharaan yang berpatutan.
Perbuatan itu dilakukan pada 3 Julai lalu kira-kira jam 10 pagi di Perumahan Awam Kos Rendah Padang Setengge, Kuala Berang.
Mahkamah bagaimanapun membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM3,000 bagi setiap pertuduhan dan menetapkan 25 Julai ini bagi sebutan semula kes.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa ASP Tuan Rosnah Tuan Husain.
BACA: Ibu abaikan tiga anak serah diri kepada polis
Sebelum ini, media melaporkan tiga beradik berusia 12, 8 dan 6 tahun berjaya diselamatkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) pada 3 Julai lalu setelah dipercayai menjadi mangsa pengabaian ibu kandung sendiri.
Kanak-kanak berkenaan disyaki ditinggalkan bersendirian tanpa makanan serta sebarang pengawasan selama lebih daripada tiga hari.
#Akta Kanak-Kanak #ibu tunggal #jkm #Kanak-kanak #Kuala Berang #mahkamah #Mahkamah Majistret #mangsa #pengabaian #tanpa makanan #tanpa pengawasan