KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini hari ini mendenda seorang pengurus RM21,000 kerana mengalih data sulit milik sebuah syarikat yang membekalkan penstriman kandungan televisyen dan video ke hotel tanpa kebenaran di antara 2016 dan 2020.

Hakim Azura Alwi menjatuhkan hukuman itu selepas Teo Kia Lim, 45, mengaku bersalah atas tiga pertuduhan.

Mahkamah mengenakan RM7,000 bagi setiap pertuduhan, atau penjara 30 bulan, jika Teo gagal membayar denda.

Dia didakwa melakukan capaian tanpa kuasa terhadap data sulit milik Syarikat Vision Four Multimedia Sdn Bhd (VFMM) dengan menyalin atau mengalihkan data terbabit kepada e-mel persendiriannya untuk mendapatkan data tanpa kebenaran daripada pemilik syarikat itu, Steven Harold Day, 72.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di Syarikat Vision di Jalan Liku, Bangsar di sini antara 10.21 pagi hingga 4.41 petang dari 29 Dis 2016 hingga 26 Ogos 2020 mengikut Seksyen 3 (1)(b) Akta Jenayah Komputer 1997 yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nurilya Ellyna Nor Azmal memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh.

Bagaimanapun, peguam Segaren memohon tertuduh dikenakan denda minimum atas alasan Teo adalah seorang ibu tunggal dan perlu menanggung ibunya yang sudah uzur selain tiada rekod jenayah serta telah memberikan kerjasama yang baik sepanjang siasatan polis.

Berdasarkan fakta kes, pengadu yang merupakan pengasas dan Ketua Eksekutif VFMM membuat laporan polis selepas tertuduh, yang sebelum ini bekas pembantu peribadinya, didapati menggunakan maklumat sulit syarikat itu antaranya data pelanggan dan rakan kongsi perniagaan syarikat pengadu untuk mempromosi jenis perniagaan sama selepas Teo menubuhkan syarikat lain.

VFMM menjalankan perniagaan pengedaran, pembekalan dan penstriman kandungan televisyen dan video ke hotel di negara ini.

-- BERNAMA