MALAYSIA
Ibu tunggal enam anak terima sumbangan Perdana Menteri
Bantuan itu disampaikan melalui Setiausaha Politik Perdana Menteri Datuk Ahmad Farhan Fauzi (kanan) ketika menziarahi Madiah dalam rangka Ziarah Madani di Kampung Tebing Tinggi, Balok, Kuantan hari ini. - Foto FB Anwar Ibrahim
KUALA LUMPUR: Keperitan hidup seorang ibu tunggal Madiah Awang menyara enam orang anak dengan pendapatan sekitar RM900 sebulan sebagai tukang masak kantin sekolah dan kilang, telah mendapat perhatian Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim apabila tampil menghulurkan sumbangan.
Ringkasan AI
- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyalurkan sumbangan kepada ibu tunggal Madiah Awang, yang menyara enam anak dengan pendapatan sekitar RM900 sebulan.
- Bantuan disampaikan menerusi Setiausaha Politik PM dalam program Ziarah Madani di Kampung Tebing Tinggi, Kuantan, dan menggambarkan kecekalan Madiah menghadapi kesusahan hidup.
- Lawatan tersebut turut menyerlahkan nilai kemanusiaan dan keprihatinan kerajaan, serta harapan agar nasib keluarga itu terus dipermudah dan dipelihara.
Bantuan itu disampaikan melalui Setiausaha Politik Perdana Menteri Datuk Ahmad Farhan Fauzi ketika menziarahi Madiah dalam rangka Ziarah Madani di Kampung Tebing Tinggi, Balok, Kuantan hari ini.
"Dalam keadaan rumah yang retak di dapur dan lantai sudah reput di bahagian depan, dia masih mampu tersenyum malah meminta kami mengutamakan mereka yang lebih susah.
"Tiada keluhan. Tiada rungutan. Yang ada cuma kesungguhan untuk terus hidup dan membesarkan anak-anak dengan penuh kasih sayang dan maruah," menurut Ahmad Farhan di laman Facebook hari ini.
Ahmad Farhan berkata selain menyampaikan sumbangan bagi pihak Perdana Menteri, beliau dapat belajar erti kekuatan dan keikhlasan sebenar daripada wanita tersebut.
"Semoga Allah SWT terus mempermudah urusan Puan Madiah dan anak-anaknya, serta membuka pintu rezeki yang lebih luas untuk mereka. Insya-Allah," katanya.
-- BERNAMA