[LAPOR LANGSUNG] Inkues Zara Qairina – Kemas Kini Terkini & Fakta Penting – Ikuti Di Sini.
MALAYSIA

Ibu Zara Qairina kata 'air matanya sudah habis' sepanjang perjalanan ke hospital - Saksi

Bernama 19/09/2025 | 09:18 MYT
Azhari berkata pihak sekolah turut menyantuni Noraidah (gambar) agar bersabar dengan insiden yang menimpa anaknya ketika mereka bertemu di hospital pada hari kejadian. - Gambar fail/Bernama
KOTA KINABALU: Mahkamah Koroner di sini hari ini diberitahu Noraidah Lamat, ibu kepada Zara Qairina Mahathir meluahkan bahawa 'air matanya sudah habis' sepanjang perjalanan dari rumahnya di Sipitang ke Hospital Queen Elizabeth di sini.


Ringkasan AI
  • Inkues kematian Zara Qairina memasuki hari ke-10, dengan Ketua Warden sekolah berkongsi luahan ibu mangsa yang berkata "air mata saya sudah habis" sepanjang perjalanan dari Sipitang ke hospital.
  • Ibu Zara turut meminta diari milik anaknya, yang disahkan telah diserahkan kepada pihak polis sebagai bahan siasatan.
  • Prosiding inkues diteruskan selepas arahan Jabatan Peguam Negara, termasuk penggalian semula kubur dan bedah siasat kedua bagi menyiasat punca kematian remaja berusia 13 tahun itu.


Perkara itu dikongsikan Ketua Warden Asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datu Mustapha, Papar Azhari Abd Sagap, 31, semasa prosiding inkues kes remaja berkenaan yang memasuki hari ke-10.

Azhari berkata pihak sekolah turut menyantuni Noraidah agar bersabar dengan insiden yang menimpa anaknya ketika mereka bertemu di hospital pada hari kejadian.

"Semasa kami bertemu Noraidah di hospital kira-kira 10 pagi pada 16 Julai lepas, beliau kelihatan tenang dan tidak menangis. Beliau berkata 'air mata saya sudah habis sepanjang perjalanan dari Sipitang ke hospital'," kata Azhari ketika disoal peguam Joan Goh, yang mewakili seorang kanak-kanak yang didakwa terlibat dalam kes buli Zara Qairina.

Saksi kelapan itu turut menyatakan ketika berada di Unit Kecemasan hospital, Noraidah menceritakan mengenai sifat ceria Zara Qairina yang rajin menulis dan mempunyai tiga diari.

Azhari juga berkata Noraidah meminta agar diari-diari itu diberikan kepadanya.

Saksi itu berkata wanita itu turut meminta beberapa warden lain agar menyerahkan diari berkenaan kepadanya.

Azhari bagaimanapun memaklumkan kepada Noraidah diari berkenaan telah diserahkan kepada pihak polis.

Prosiding inkues di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan bersambung Isnin dengan saksi kanak-kanak akan memberi keterangan.

Zara Qairina, 13, disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu pada 17 Julai lepas setelah ditemukan tidak sedarkan diri di longkang berhampiran asrama sekolahnya di Papar pada 4 pagi, 16 Julai.

Pada 13 Ogos, Jabatan Peguam Negara (AGC) mengarahkan inkues dijalankan selepas meneliti laporan siasatan dikemukakan pihak polis manakala sebelum itu pada 8 Ogos AGC mengeluarkan perintah untuk menggali semula kubur Zara Qairina bagi membolehkan bedah siasat dilakukan.

-- BERNAMA



#inkues Zara Qairina #air matanya sudah habis #warden asrama #Noraidah Lamat #terkini