Skip to main content

Malaysia

Ibu Zara Qairina setuju lebam pada tubuh anaknya bukan kesan pukulan objek tumpul

Noraidah ketika hadir di Mahkamah Kota Kinabalu. - Foto Sinar Harian
Noraidah ketika hadir di Mahkamah Kota Kinabalu. - Foto Sinar Harian

Advertisement

KOTA KINABALU: Ibu kepada Allahyarham Zara Qairina Mahathir bersetuju bahawa tiada seorang pun doktor yang melihat atau merekodkan sebarang kecederaan pada tubuh anaknya yang konsisten dengan pukulan, berdasarkan keterangan yang dibacanya.

Noraidah Lamat, 46, turut bersetuju bahawa kesan lebam di belakang badan anaknya yang sebelum ini dipercayai akibat pukulan sebenarnya berpunca daripada darah beku, berdasarkan penjelasan doktor.

Perkara itu dinyatakan ketika menjawab soalan peguam Abdul Fikry Jaafar Abdullah dalam prosiding inkues kematian Zara Qairina di Mahkamah Koroner di sini, pada Isnin.

"Setakat yang saya baca, betul," katanya ketika ditanya sama ada tiada doktor yang memeriksa Zara Qairina melihat atau merekodkan kecederaan konsisten dengan pukulan.

Bagaimanapun, Noraidah menjelaskan bahawa kenyataan sebelum ini yang mengaitkan kesan lebam dengan pukulan objek tumpul dibuat ketika keluarga belum memperoleh maklumat daripada pegawai penyiasat polis dan bedah siasat belum dijalankan.

Ketika ditanya sama ada beliau bersedia menerima sekiranya bukti dalam inkues menunjukkan kematian anaknya bukan akibat dibunuh tetapi tamatkan riwayat sendiri, Noraidah tidak memberikan jawapan secara langsung, sebaliknya menegaskan harapannya supaya keadilan ditegakkan.

"Saya berharap keadilan akan ditegakkan dan semua saksi bercakap benar," katanya.

Dalam prosiding sama, Noraidah turut mengakui tidak menyaksikan sendiri sebarang kejadian yang didakwa membabitkan pelajar senior terhadap Zara Qairina pada 15 Julai 2025 kerana ketika itu beliau berada di rumah.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan bahawa maklumat mengenai kejadian tersebut diperoleh daripada kenyataan saksi serta perbualan dalam kumpulan WhatsApp, selain mengikuti laporan yang disediakan peguam keluarganya.

"Betul, kerana saya berada di rumah dan saya tidak mendapat penjelasan daripada pihak sekolah dan juga pegawai penyiasat polis," katanya ketika ditanya sama ada beliau tidak mempunyai pengetahuan secara langsung mengenai apa yang berlaku antara Zara Qairina dengan pelajar senior pada tarikh berkenaan. - Sinar Harian

 

 

Must Watch Video

Advertisement