Ibu Zayn Rayyan bebas atau bersalah diketahui hari ini

Ismanira berdepan hukuman penjara hingga 20 tahun jika sabit kesalahan atas pertuduhan mengabaikan anak autisme itu. - Foto Sinar Harian
PETALING JAYA: Nasib ibu kepada Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin, sama ada dibebaskan atau disabitkan kesalahan atas satu kes pengabaian terhadap kanak-kanak autisme itu dua tahun lalu akan diputuskan Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat.
Ringkasan AI
- Ismanira Abdul Manaf akan tahu nasibnya atas tuduhan mengabaikan anak autisme, Zayn Rayyan, yang ditemui mati pada Disember 2023.
- Jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum penjara hingga 20 tahun, denda RM50,000, atau kedua-duanya.
- Seramai 33 saksi tampil sepanjang perbicaraan. Suami Ismanira telah dibebaskan, manakala dia diperintah membela diri.
Seksyen tersebut memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Bagaimanapun, jika mahkamah mendapati peguam bela berjaya menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan, Ismanira akan dibebaskan serta-merta.
Pada 13 Jun tahun lalu, Ismanira dan suaminya, Zaim Ikhwan Zahari, 30, mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan terbabit.
Mengikut pertuduhan pindaan, pasangan itu didakwa bersama-sama sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap Zayn Rayyan, 6, telah mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di kawasan Blok R, Pangsapuri Idaman, Damansara Damai sehingga ke kawasan sungai berdekatan, antara jam 12 tengah hari, 5 Disember 2023 dan jam 9.55 malam keesokkannya.
Seramai 28 saksi hadir memberi keterangan terhadap kedua-dua tertuduh dalam perbicaraan di peringkat pendakwaan yang berlangsung dari 3 Februari hingga 24 April lalu.
Antara saksi pendakwaan (SP) tersebut ialah SP4, bekas pegawai penyiasat Ibu Pejabat Polis (IPD) Petaling Jaya, Inspektor Nina Syamimi Syamsuddin, 33; doktor bedah siasat Zayn Rayyan, SP27, bekas Pakar Perubatan Perunding Forensik, Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Sungai Buloh, Dr Rohayu Shahar Adnan dan dua saksi kanak-kanak berusia 10 tahun.
Pada 21 Julai, nasib menyebelahi Zaim Ikhwan apabila mahkamah membebaskannya daripada pertuduhan berkenaan.
Hakim, Syahliza memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh pertama terbabit.
Susulan itu, mahkamah memerintahkan Ismanira, yang juga tertuduh kedua, membela diri atas pertuduhan yang dihadapi.
Pada hari sama, Ismanira memberi keterangan sebagai saksi pembelaan (SD) pertama dan menyatakan bahawa penagih dadah atau ‘pedofilia’, iaitu seseorang yang mempunyai nafsu terlarang terhadap kanak-kanak, berkemungkinan melakukan jenayah terhadap anaknya.
Selain Ismanira, seramai empat lagi saksi hadir membela wanita tersebut dalam prosiding bela diri sehingga 5 Ogos lalu.
Saksi-saksi tersebut ialah SD2, bapa mentuanya, Zahari Mohd Reba, 57; disusuli ibu saudara Zaim yang juga seorang anggota polis (tidak mahu dikenali); rakan baik Ismanira, penyambut tetamu firma guaman, Umi Syafiqah Rohizal, 30; dan Doktor Pakar Psikologi Kanak-Kanak, Dr Noor Aisyah Rosli, 49, selaku SD3 hingga SD5.
Pada 6 Disember 2023, Zayn Rayyan ditemukan meninggal dunia di anak sungai berhampiran kawasan Pangsapuri Idaman, Damansara Damai, jam 10 malam.
Mangsa sebelum ini dilaporkan hilang sebelum ditemui terbaring dengan jarak kira-kira 200 meter dari blok kediamannya.
Pendakwaan dalam kes ini dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin, Aqharie Durranie Aziz dan Kamarul Iman Ahmad Sapian.
Pembelaan bagi Ismanira dikendalikan oleh peguam Haresh Mahadevan, Ramzani Idris dan Lavanesh Haresh. - Sinar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


