ICQS Rantau Panjang catat hampir 1.64 juta pergerakan keluar masuk

Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Rantau Panjang merekodkan hampir 1.64 juta pergerakan keluar masuk individu di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang sepanjang Januari hingga semalam. - BERNAMA
KOTA BHARU: Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Rantau Panjang merekodkan hampir 1.64 juta pergerakan keluar masuk individu di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang sepanjang Januari hingga semalam.
Timbalan Komander AKPS Rantau Panjang Bakri Sulaiman berkata bagi tempoh 11 bulan pertama tahun ini, sebanyak 784,617 individu direkodkan masuk ke negara ini, manakala 855,564 individu pula keluar melalui pintu sempadan berkenaan.
Beliau berkata angka berkenaan menunjukkan ICQS Rantau Panjang kekal sebagai antara pintu masuk darat utama negara, khususnya bagi pergerakan rentas sempadan Malaysia-Thailand.
"Dalam aspek penguatkuasaan, AKPS Rantau Panjang turut merekodkan 14 tangkapan di bawah peruntukan undang-undang berkaitan imigresen sepanjang Januari hingga 21 Dis," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Bakri berkata enam individu ditahan pada Mei lepas di bawah Seksyen 56(1)(l) Akta Imigresen 1959/63, manakala lapan individu lagi ditahan pada November di bawah Seksyen 2(2) Akta Pasport 1960.
Selain itu, beliau berkata 165 individu dikenakan Notis Penolakan Masuk sepanjang tempoh sama, melibatkan 141 warga Thailand, India (sembilan), Kemboja (lima) dan selebihnya daripada pelbagai warganegara lain.
Dalam aspek penguatkuasaan barangan larangan, Bakri berkata AKPS Rantau Panjang merekodkan sitaan dan rampasan bernilai kira-kira RM610,883 bagi tempoh Januari hingga semalam.
"Sitaan itu melibatkan pelbagai peruntukan undang-undang termasuk Akta Kastam 1967, Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Akta Makanan 1983," katanya.
Beliau menegaskan AKPS akan terus memperketat kawalan serta pemeriksaan di pintu sempadan bagi menjamin keselamatan negara, membanteras jenayah rentas sempadan dan memastikan pematuhan undang-undang oleh semua pengembara serta pengguna laluan antarabangsa.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


