ICU terbakar: Dikelilingi gas oksigen, doktor HSA bertarung nyawa pindah pesakit

Harits Asyraf Hasnan
Oktober 27, 2016 00:00 MYT
Pakar Perunding Anestesiologi, Hospital Sultanah Aminah (HSA), Dr Raha Mohd Daud antara yang terlibat secara langsung dalam usaha menyelamatkan pesakit susulan keajdian kebakaran pada Selasa. - Foto Astro AWANI
Memindahkan pesakit kritikal dalam situasi kecemasan bukanlah semudah yang disangka. Apatah lagi apabila pesakit itu menggunakan mesin bantuan pernafasan.
Pakar Perunding Anestesiologi, Hospital Sultanah Aminah (HSA), Dr Raha Mohd Daud antara yang terlibat secara langsung dalam usaha menyelamatkan pesakit susulan kejadian kebakaran pada Selasa.
“Kami dikelilingi oksigen bukan sahaja dari tangki malah dari saluran paip.
“Maknanya kalau bilik itu sentiasa ada oksigen daripada pesakit, bermakna jika ada sedikit api pun ia memang boleh cepat terbakar dan merebak,” katanya kepada media di perkarangan HSA di sini pada Rabu.
GALERI FOTO: Kebakaran wad ICU Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru
Dalam jarak lebih 500 meter, beliau dibantu beberapa kakitangan lain kerana terpaksa menolak seorang pesakit yang masih bergantung kepada alat bantuan pernafasan ke blok lain.
“Pesakit saya ada seorang yang perlu menggunakan alat bantuan pernafasan tetapi dia masih boleh bernafas sendiri.
“Dengan bantuan daripada jurufisioterapi bersama jururawat, kami segera menolak dia (pesakit) ke Unit Rawatan Kardiologi (CCU) yang terletak di Blok C, HSA,” ujarnya.
Malah, kewibawaan beliau terus tercabar apabila beliau perlu melakukan pembedahan kecemasan setelah bertungkus lumus menyelamatkan pesakit lain.
“Saya dan kakitangan lain terus ke tempat perhimpunan di mana di sana kami diarahkan untuk membuat ‘head count’.
“Sebelah tengah hari pula saya perlu lakukan pembedahan semula dan syukur Alhamdulillah pesakit tersebut telah dipindahkan ke Unit Rawatan Rapi Kanak-kanak (PICU),” katanya.
Beliau turut bersyukur apabila setia ketua jabatan di HSA memberi kerjasama yang amat baik dengan member kebenaran untuk menempatkan pesakit-pesakit terutama mereka yang kitikal di wad sementara.
#dr raha mohd daud #HSA #oksigen #PICU