Identiti mangsa lemas Pandan Lake View dikenal pasti

Sinar Harian
Februari 12, 2024 04:02 MYT
Mangsa dikenal pasti sebagai seorang wanita warga tempatan berusia 53 tahun. -Foto Sinar Harian
AMPANG: Polis telah mengenal pasti identiti seorang wanita yang ditemukan lemas di Tasik Pandan Lake View, di sini, pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, wanita itu merupakan warga tempatan berusia 53 tahun.
"Bedah siasat yang dijalankan di Hospital Ampang mengesahkan punca kematian adalah mati lemas (drowning)," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Pada Ahad, media melaporkan, polis menerima panggilan orang awam mengenai kejadian itu pada jam 8.13 pagi.
Mohd Azam dilaporkan berkata, saksi kejadian yang berada di kawasan tasik tersebut mendakwa mangsa dikatakan dalam keadaan tidak berpakaian, telah masuk ke dalam tasik dan dipercayai lemas.
Sepasukan anggota daripada Unit Skuba Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Selangor dikejarkan ke lokasi untuk operasi mencari dan menyelamat.
Selepas melakukan pencarian selama dua jam, mangsa berjaya ditemui tanpa sebarang identiti bersamanya dan disahkan sudah meninggal dunia. -Sinar Harian
#mati lemas #Tasik Pandan Lake View #identiti mangsa lemas #tidak berpakaian