KUALA LUMPUR: Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun diminta untuk memberikan penjelasan terbuka kepada rakyat berkenaan faktor yang mendorong kepada keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepas tanpa membebaskan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Menurut Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, parti itu menghormati proses dan keputusan mahkamah, namun demi prinsip keadilan dan akauntabiliti penjelasan itu perlu dilakukan.

Katanya, DAP mengambil maklum pandangan kritikal daripada pelbagai pihak dan orang ramai terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk melepas tanpa membebaskan (DNAA) 47 kes yang melibatkan Ahmad Zahid.

"Penjelasan ini adalah penting untuk memastikan keyakinan orang ramai dan masyarakat antarabangsa terhadap sistem perundangan negara sentiasa terpelihara.

"DAP juga akan sentiasa menjunjung prinsip pengasingan kuasa di antara cabang kehakiman, eksekutif dan legislatif serta memastikan tidak ada campur tangan eksekutif dalam sebarang kes mahkamah," katanya dalam satu kenyataan, pada awal pagi Selasa.

Pada Isnin, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepaskan Ahmad Zahid tanpa membebaskan daripada 47 tuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi yang diasaskannya.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah, melepas tanpa membebaskan Ahmad Zahid selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Mohd Dusuki Mokhtar, yang memaklumkan Jabatan Peguam Negara ingin memberhentikan semua prosiding terhadap beliau pada peringkat ini.