WELLINGTON: Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Zealand dengan kerjasama Wellington Malaysian Students’ Organization (WMSO) telah menganjurkan program Ihya’ Ramadan yang berlangsung di Dewan Bunga Raya, Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Wellington, kelmarin.
Program ini menghimpunkan hampir 100 orang yang terdiri daripada pelajar-pelajar Malaysia yang menuntut di sekitar Wellington serta staf Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Zealand bagi bersama-sama mengimarahkan bulan Ramadan melalui aktiviti berbuka puasa dan solat berjemaah.
Advertisement
Sebelum majlis utama bermula, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke New Zealand, Mazita Marzuki bersama pelajar mengambil bahagian dalam sesi rakaman ucapan Hari Raya Aidilfitri, yang memberi peluang kepada komuniti pelajar Malaysia di Wellington untuk menyampaikan ucapan kepada keluarga dan masyarakat di tanah air.
Program diteruskan dengan pengisian rohani melalui tazkirah Ihya’ Ramadan bertajuk “Menjaga Iman di Luar Negara: Inspirasi Nuzul Al-Quran.”
Tazkirah yang disampaikan Ku Izzat Iqhbal Ku Ismail ini menekankan kepentingan penghayatan nilai-nilai spiritual seperti kesyukuran, kesabaran dan muhasabah diri sepanjang bulan Ramadan.
Program diteruskan dengan bacaan surah Muzammil sempena World Quran Hour.
Jemputan seterusnya berbuka puasa bersama sebelum menunaikan solat Maghrib, diikuti dengan jamuan makan malam.
Program diteruskan dengan solat Isyak dan Tarawih secara berjemaah serta diakhiri dengan sesi moreh dalam suasana santai yang memberi peluang kepada para pelajar untuk berinteraksi dan mengeratkan lagi hubungan sesama mereka.
Mazita menyifatkan penganjuran program seperti ini sangat penting dalam mendekatkan komuniti Malaysia di rantau ini, terutama ketika berjauhan dari tanah air.
“Majlis ini amat bermakna kerana ia bukan sahaja meraikan kedatangan Ramadan, tetapi lebih penting, ia mengeratkan silaturahim sesama rakyat Malaysia di Wellington,” katanya.
Beliau menambah, Ramadan seharusnya menjadi bulan yang membawa perubahan positif kepada setiap umat Islam.
“Ramadan, seperti yang kita harapkan, menjadi titik tolak untuk kita semua menjadi insan yang lebih baik berbanding sebelum ini,” ujar Mazita.
Menurutnya lagi, kehadiran warga Suruhanjaya Tinggi bersama para pelajar dapat sedikit sebanyak mengubat kerinduan mereka terhadap keluarga dan suasana Ramadan di tanah air.
“Majlis berbuka puasa anjuran Suruhanjaya Tinggi Malaysia ini sekurang-kurangnya dapat mengubat kerinduan perantau,” katanya.
Secara keseluruhannya, penganjuran Program Ihya’ Ramadan ini bukan sahaja menghidupkan suasana Ramadan dalam kalangan pelajar Malaysia di Wellington, malah mencerminkan semangat perpaduan, kebersamaan dan sokongan komuniti yang terus dipupuk dalam kalangan rakyat Malaysia di luar negara.