NATIONAL
IJN cipta sejarah laksana pemasangan LVAD Paediatrik pertama di Malaysia

Selepas 16 hari menggunakan LVAD, fungsi jantung Jackson menunjukkan pemulihan yang ketara dan peranti tersebut berjaya dikeluarkan pada 14 April 2025 tanpa sebarang komplikasi neurologi. - Gambar ihsan IJN
KUALA LUMPUR: Institut Jantung Negara (IJN) mencipta sejarah perubatan negara apabila berjaya melaksanakan prosedur pemasangan Left Ventricular Assist Device (LVAD) Paediatrik pertama di Malaysia.
Prosedur berinovasi tinggi itu dilakukan pada 29 Mac lalu ke atas pesakit berusia 12 tahun, Jackson Foong Yi Jie, yang dirujuk ke IJN secara kecemasan dengan gejala kegagalan jantung kronik.
Keadaannya yang kritikal menyaksikan serangan sawan dan fibrilasi ventrikel - satu bentuk aritmia jantung yang mengancam nyawa.
Pasukan pelbagai disiplin IJN telah memasang alat LVAD paediatrik - sejenis peranti sokongan peredaran mekanikal yang membantu mengepam darah dari jantung secara sementara bagi memberi ruang jantung pulih atau sebagai jambatan sebelum pemindahan jantung dilakukan.“Ia adalah intervensi yang menyelamatkan nyawa,” kata Timbalan Ketua Jabatan Pembedahan Kardiotorasik dan Vaskular IJN, Khairul Anuar Abdul Aziz, yang mengetuai prosedur berkenaan.
“LVAD ini membolehkan kami mengekalkan peredaran darah dan memberikan masa kepada jantung untuk pulih semula.” katanya.
Prosedur itu turut disokong oleh pasukan pakar termasuk pakar bius, pakar jantung kanak-kanak, jurupam, jururawat dan juruteknik bilik bedah bagi memastikan kejayaan penuh intervensi tersebut.
Selepas 16 hari menggunakan LVAD, fungsi jantung Jackson menunjukkan pemulihan yang ketara dan peranti tersebut berjaya dikeluarkan pada 14 April lalu tanpa sebarang komplikasi neurologi.
Dr Joyce Darshinee yang juga Pakar Intensif Jantung Pediatrik berkata, seluruh pasukan perubatan teruja dengan pemulihan hampir sepenuhnya yang ditunjukkan oleh Jackson, meskipun pernah mengalami serangan jantung, tanpa sebarang simptom neurologi.
Beliau memaklumkan, keadaan jantung Jackson pulih dengan baik dan tidak memerlukan pemindahan jantung.
Bahkan, Jackson kini menunjukkan perkembangan yang sangat positif dan dijangka dibenarkan keluar dari IJN dalam masa terdekat.
Pencapaian ini mencerminkan komitmen teguh IJN dalam memperkasa rawatan jantung kanak-kanak yang kompleks, seterusnya mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju inovasi kardiologi di peringkat nasional dan serantau.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami