GEORGE TOWN: Penemuan seekor ikan kanai atau tembaring dan Black Bass (Lutjanus goldiei) di Sungai Kuala, di sini pada Sabtu lepas disifatkan sebagai kejadian jarang berlaku selepas spesies itu dipercayai tidak ditangkap di perairan Pulau Pinang sejak kira-kira 15 tahun lepas.
Jabatan Perikanan Pulau Pinang dalam kenyataan hari ini memaklumkan ikan itu berjaya ditangkap oleh nelayan tempatan di situ dan ikan kanai ialah spesies pemangsa estuari yang terkenal sebagai ikan sukan premium kerana kekuatan serta ketahanannya yang luar biasa.
“Spesies itu lebih lazim ditemui di kawasan estuari Sabah dan Papua New Guinea, sekali gus menjadikan penemuannya di perairan Pulau Pinang satu pemerhatian menarik dari segi taburan geografi selain mempunyai nilai penting dari sudut perikanan negara,” menurut kenyataan itu.
Jabatan itu memaklumkan ikan kanai lazimnya mendiami kawasan estuari dan pesisir sungai yang dipengaruhi pasang surut selain kawasan mempunyai tumbuh-tumbuhan bakau dan nipah sebagai tempat perlindungan serta sumber makanan.
Penemuan spesies itu di Sungai Kuala menunjukkan kawasan tersebut mempunyai keadaan ekologi yang sesuai untuk menyokong kewujudan ikan tersebut.
Dalam pada itu, jabatan tersebut menjelaskan ikan kanai adalah spesies tempatan dan berbeza daripada spesies Black Bass (Micropterus salmoides) yang dilaporkan diperkenalkan di kawasan lain.
“Memandangkan ia jarang ditemui dan sensitif terhadap perubahan persekitaran, jabatan menggalakkan amalan tangkap dan lepas bagi spesies ini bagi tujuan pemuliharaan dan memastikan kemampanan populasi ikan itu di perairan Malaysia,” menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA