MALAYSIA
IKM, KKTM, MJII kini dikenali sebagai TVETMARA - Ahmad Zahid
Ahmad Zahid (empat, kiri) pada Majlis Peluncuran Penjenamaan TVETMARA di Institut Kemahiran MARA Seberang Perai Utara hari ini. - Foto Bernama
TASEK GELUGOR: Semua Institut Kemahiran MARA (IKM), Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM) dan MARA-Japan Industrial Institute (MJII) dijenamakan semula dan dikenali TVETMARA, selaras dengan komitmen kerajaan untuk mengangkat Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sebagai agenda utama negara.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata penjenamaan semula melibatkan 25 institusi berkenaan adalah sebahagian daripada usaha memperkukuh ekosistem pendidikan teknikal baharu di bawah Majlis Amanah Rakyat (MARA) serta membuka laluan lebih luas kepada pelajar dalam bidang kemahiran.
Beliau berkata TVETMARA terbuka kepada pelajar pelbagai latar belakang termasuk lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), GiatMARA dan kolej vokasional.
"Laluan pendidikan di bawah TVETMARA disusun mengikut tahap kemahiran, dengan GiatMARA menawarkan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 1 hingga 3, manakala Tahap 4 dan 5 akan berada di bawah TVETMARA.
"Selepas itu, graduan turut mempunyai pilihan melanjutkan pengajian ke Universiti Kuala Lumpur (UniKL) bagi mengikuti program peringkat Ijazah Sarjana Muda, Sarjana dan PhD, selain terus memasuki pasaran kerja dengan kelulusan profesional berkaitan," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran penjenamaan TVETMARA di sini hari ini.
Ahmad Zahid berkata peluang itu turut terbuka kepada golongan tidak mempunyai kelulusan SPM atau tidak memperoleh kredit untuk meningkatkan kerjaya mereka dalam bidang TVET.
Beliau berkata kerjasama institusi TVET dengan pemain industri melalui memorandum perjanjian turut menyumbang kepada peningkatan kebolehpasaran graduan yang kini berada pada tahap 98.7 peratus, manakala kebolehpasaran bagi institusi IKM sahaja telah mencapai 100 peratus.
Terdahulu dalam ucapannya, Ahmad Zahid berkata seiring dengan penjenamaan TVETMARA, IKM Seberang Perai Utara akan melaksanakan Pelan Transformasi ke arah National Electrical Energy Specialist Academy (NEST) melalui Kerangka Pelan Transformasi Strategik NEST bagi tempoh 2025 hingga 2035.
Beliau berkata pelaksanaan kerangka NEST ini dijajarkan dalam dua fasa pembangunan utama, iaitu menumpukan kepada Pembangunan Komuniti dan Industri, dan memberi tumpuan kepada Pembangunan Nasional.
"Keseluruhan pelaksanaan ini digerakkan melalui empat bidang fokus utama, disokong lima strategi teras, merangkumi 29 inisiatif strategik serta dipacu oleh lapan pemangkin utama," katanya.
-- BERNAMA