IKSYAM perlu jadi model profesionalisme syariah berintegriti tinggi - Na'im

Mohd Na'im berkata warga IKSYAM juga perlu mengekalkan budaya kerja berteraskan integriti, keprihatinan dan layanan berhemah agar institusi syariah terus diyakini serta dekat di hati masyarakat. - Gambar fail/Bernama
PUTRAJAYA: Institut Kefahaman Syariah Malaysia (IKSYAM) diharap terus menjadi model profesionalisme syariah yang berintegriti tinggi, selari dengan usaha memperkukuh nilai ihsan, khidmat sukarelawan dan pendekatan mesra masyarakat dalam penyampaian perkhidmatan.
Ringkasan AI
- IKSYAM perlu menjadi model profesionalisme syariah yang berintegriti tinggi, memperkukuh nilai ihsan dan khidmat sukarelawan dalam perkhidmatannya.
- Program Kasih Syariah oleh IKSYAM mendekatkan masyarakat dengan institusi syariah, selaras dengan aspirasi nasional Kerajaan MADANI.
- Sinergi Ukhwah dan Mantap Khidmat Syariah menekankan kerjasama antara masjid, agensi syariah, dan komuniti untuk kekuatan bersama, menjunjung kepakaran, integriti, dan ihsan institusi syariah.
"Ini adalah platform strategik untuk kami memperkukuh semula hala tuju pentadbiran kehakiman syariah agar sentiasa selari dengan aspirasi nasional Kerajaan MADANI," katanya dalam teks ucapan yang dibacakan oleh Ketua Pengarah merangkap Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) Datuk Mohd Amran Mat Zain.
Mohd Na'im berkata warga IKSYAM juga perlu mengekalkan budaya kerja berteraskan integriti, keprihatinan dan layanan berhemah agar institusi syariah terus diyakini serta dekat di hati masyarakat.
"Kami mahu institusi syariah dinilai bukan hanya berdasarkan keadilan dalam mahkamah tetapi juga berdasarkan Ihsan dan perkhidmatan sosial kepada masyarakat," katanya.
Mengulas tema program, beliau berkata Sinergi Ukhwah membawa maksud kekuatan terhasil melalui kebersamaan apabila masjid, agensi syariah dan komuniti disatukan dalam jaringan kerjasama ikhlas berteraskan nilai masyarakat MADANI.
"Mantap Khidmat Syariah pula menuntut warga Syariah menonjolkan kepakaran, integriti dan ihsan agar institusi syariah kekal mesra masyarakat, responsif serta relevan dengan keperluan semasa," katanya.
Beliau berkata penekanan juga perlu diberikan kepada kepentingan kerjasama erat antara agensi syariah, institusi masjid dan komuniti sebagai satu budaya berterusan, bukan dilaksanakan secara bermusim, kerana sinergi itu berperanan mengukuhkan masyarakat serta menyemarakkan semangat Malaysia MADANI.
Justeru, beliau berharap program Kasih Syariah diperluaskan ke lebih banyak lokasi bagi memantapkan imej institusi syariah sebagai rakan masyarakat yang mudah didekati dan responsif terhadap keperluan setempat.
"Melihat kepada komitmen, sambutan komuniti, penglibatan sukarelawan serta manfaat sosial yang terhasil, program Kasih Syariah berjaya mencapai matlamatnya dalam menzahirkan nilai ihsan, penyayang dan khidmat yang menjadi inti pati syariah," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


